New Project (1)
New Project (1)

Edotco Group dan UKM anjur Infrastructure Design Competition

Mohd Khairi Mohamad Yusri
27 Oct 2021 09:33am
A
A
A

Kuala Lumpur - Edotco Group dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan Infrastructure Design Competition yang pertama di Asia sebagai platform kepada golongan belia untuk berhubung dengan pemain-pemain industri.

Bertemakan "Infrastructure for Tomorrow: Designing the Future", pertandingan tersebut turut disasar menjadi platform buat pelajar untuk meraih pengetahuan tentang industri dan menerima pendedahan teknologi sambil memanfaatkan kemahiran mereka untuk mencipta penyelesaian yang inovatif.

Ketua Pegawai Eksekutif Edotco Group, Adlan Tajudin, berkata, pertandingan ini adalah sebagai salah satu usaha menggalakkan inovasi dan mendidik tentang kepentingan kemapanan dalam kalangan belia.

“Melalui pertandingan ini, kami berazam untuk menerajui inovasi di samping meningkatkan kemahiran para belia di seluruh Asia.

"Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Edotco untuk membangunkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa depan dan berkebolehan membina pelbagai teknologi baharu untuk industri telekomunikasi,”katanya.

Menurut Adlan lagi, fokus teknikal pertandingan ini adalah untuk menggabungkan inovasi, kecekapan kos, kebolehlaksanaan dan kefungsian serta penyelesaian yang mesra alam.

“Institusi pendidikan memainkan peranan yang penting mengasah bakat-bakat akan datang dalam bidang telekomunikasi dan kami gembira untuk bekerjasama dengan UKM bagi mencipta platform untuk membangunkan kemahiran tersebut.

"Kami juga teruja untuk melibatkan para pelajar universiti dalam usaha membentuk masa depan yang cekap dan mampan, seterusnya menyaksikan pelbagai idea kreatif yang akan mereka persembahkan,” tambahnya.

Dalam pertandingan ini, lima penyertaan terbaik akan dipilih untuk dibentangkan kepada panel hakim yang terdiri daripada pakar-pakar dari Edotco, industri dan ahli akademik dari UKM.

Pusingan akhir akan dijalankan secara maya pada Mac 2022 dan seramai tiga pemenang dengan idea yang paling inovatif akan memenangi hadiah wang tunai berjumlah USD 5,000.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok