Beberapa kawasan terutama di Kelantan, Perlis dan Kedah akan mengalami cuaca lebih panas berbanding negeri lain seperti Selangor dan Kuala Lumpur.
Beberapa kawasan terutama di Kelantan, Perlis dan Kedah akan mengalami cuaca lebih panas berbanding negeri lain seperti Selangor dan Kuala Lumpur.

El Nino dijangka berterusan hingga Julai

02 May 2024 04:50pm

Fenomena El Nino atau cuaca panas yang melanda negara ketika ini dijangka berterusan hingga Julai nanti, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, situasi berkenaan menyaksikan beberapa kawasan terutama di Kelantan, Perlis dan Kedah akan mengalami cuaca lebih panas berbanding negeri lain seperti Selangor dan Kuala Lumpur.

“Terdapat ramalan mengatakan tahun ini merupakan tahun paling panas selepas 1998.

“Kali terakhir cuaca yang panas melanda negara ini adalah sekitar 1998 di Perlis sebelum ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kampung Angkat Madani di Kampung Aril, Melor, Kelantan pada Khamis.

Menurut Nik Nazmi, berdasarkan laporan cuaca yang diterima, cuaca panas sudah mula beralih dan hujan akan mula turun dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi.

“Bagaimanapun, keadaan itu (cuaca panas) berkemungkinan berterusan sebulan atau dua bulan lagi dan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) akan memantau perkara tersebut.

No Image Caption

“Dalam masa sama, kita juga akan memantau dan berjaga-jaga tentang jerebu dalam negara dan rentas sempadan kerana kami melihat beberapa kesan kebakaran melibatkan tanah gambut,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Sinar Bestari tertarik untuk berkongsi definisi dan kesan yang melanda negara akibat fenomena El Nino untuk pengetahuan guru, pelajar dan masyarakat.

Secara ringkasnya, El Nino merupakan fenomena pemanasan suhu permukaan air laut yang biasanya berlaku dalam tempoh enam hingga 18 bulan setiap dua hingga tujuh tahun di Timur Lautan Pasifik berhampiran Peru.

Kejadian semula jadi itu berlaku apabila angin yang biasa bertiup dari kawasan Lautan Pasifik di benua Amerika Selatan telah menuju ke kawasan Australia dan negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Akibat situasi itu, secara tidak langsung ia menyebabkan berlakunya cuaca panas dan kemarau serta kadar hujan yang sedikit di negara-negara berkenaan.

Pada masa sama, kawasan Timur Lautan Pasifik yang merangkumi negara-negara Amerika Selatan seperti Peru, Chile, Argentina, Bolivia, Colombia, Ecuador dan Brazil akan menerima angin kencang yang mengakibatkan hujan lebat, ribut petir dan banjir besar.

No Image Caption

Terdapat empat kesan yang akan melanda negara sekiranya berlaku El Nino.

1) Kesihatan

Perubahan suhu dan cuaca boleh mempengaruhi populasi dan kelakuan vektor nyamuk sekali gus meningkatkan potensi jangkitan. Hal ini kerana keadaan cuaca yang lebih panas akan menyebabkan vektor nyamuk untuk hidup dan matang dengan lebih cepat serta memendekkan tempoh pengeraman virus.

2) Pencemaran udara

Semasa kejadian El Nino pada 1997-1998, cuaca panas dan kering yang melampau telah menyebabkan kebakaran hutan hampir 10 juta hektar di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.

Kebakaran hutan di Indonesia turut mengundang pencemaran udara di negara- negara berjiran terutamanya Malaysia, Singapura dan Thailand.

Dalam keadaan musim kering dengan taburan hujan yang sedikit atau tidak ada langsung, pencemaran tersebut akan menjadi lebih meruncing sehingga menyumbang kepada masalah jerebu.

3) Krisis bekalan air

Musim kering akan menyebabkan penyusutan di kawasan tadahan air seperti empangan, tasik dan kolam disebabkan kadar sejatan yang tinggi dan tidak ada hujan.

Pengalaman semasa El Nino melanda pada 1997–1998 sudah cukup memeritkan, terutamanya bagi penduduk di Lembah Klang apabila kira-kira 1.8 juta orang terpaksa berhadapan dengan catuan air selama enam bulan.

Bagi menghadapi El Nino, orang ramai perlu bekerjasama dengan menjimatkan penggunaan air dan tidak menggunakan air untuk aktiviti yang tidak perlu.

Mereka juga perlu bersedia dengan membuat tadahan air bermula dari sekarang.

No Image Caption

4) Aktiviti luar dan ekonomi

Apabila El Nino melanda, kegiatan harian manusia terjejas teruk dan secara tidak langsung memberikan kesan kepada ekonomi.

Misalnya, jerebu serius yang berpunca daripada El Nino menyebabkan kualiti udara tidak sihat dan jarak penglihatan terhad.

Kesannya, aktiviti luar perlu dikurangkan, sekolah ditutup, kedatangan pelancong terjejas dan sektor pengangkutan termasuk penerbangan tergendala.

Dari segi pertanian pula, keadaan kemarau akan menjejaskan pengeluaran padi, buah-buahan dan sayur-sayuran yang amat bergantung pada air.

Malah, industri kelapa sawit di rantau ini boleh terjejas sehingga 15 peratus sekiranya El Nino berpanjangan.

Industri berkaitan seperti bahan api bio, makanan, kosmetik sabun yang menggunakan minyak kelapa sawit dalam proses pengeluaran turut akan menerima tempias.

Selain itu, industri yang memerlukan air sebagai bahan dalam proses pengeluaran produk seperti makanan dan minuman juga bakal menerima kesan besar sekiranya berlaku catuan bekalan air kerana kemarau berpanjangan.

Akhir sekali, Sinar Bestari menasihatkan semua agar berjaga-jaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan dan didoakan kita sentiasa dilindungi oleh ALLAH SWT.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp