gabriel-benois-qnWPjzewewA-unsplash
gabriel-benois-qnWPjzewewA-unsplash

Elakkan diri menjadi individu toksik di media sosial

Norliza Wasilan
06 Sep 2022 03:53pm
A
A
A

Lanskap dunia komunikasi di abad ke-21 telah banyak berubah. Penggunaan media sosial yang semakin meluas banyak mempengaruhi kehidupan kita seharian.

Sindrom berkurung di dalam rumah atau bilik akibat pandemik Covid-19 menyebabkan ramai orang menggunakan pelbagai laman media sosial sebagai satu cara untuk kekal berhubung dengan orang lain.

Kebelakangan ini, rakyat Malaysia begitu ghairah memuat naik status di Whatsapp, Facebook, Instagram, Twitter, Tiktok, YouTube tanpa mengira waktu menggunakan peranti elektronik seperti telefon pintar, tablet dan komputer riba.

Akibatnya, perkongsian kehidupan seharian sama ada berkaitan soal kerja atau bersifat peribadi menjadi tatapan ribuan atau mungkin jutaan pengguna yang dapat mencapai akses terhadap media sosial tersebut.

Namun, masyarakat harus sedar bahawa media sosial sekiranya digunakan dengan cara yang betul akan memberi banyak manfaat dan menjadi sebaliknya apabila disalahgunakan.

Keghairahan berkongsi maklumat tentang kehidupan seharian yang adakalanya menyebarkan mesej negatif boleh mempengaruhi minda, psikologi dan emosi pengguna media sosial yang lain.

Perkara ini harus diambil serius kerana ia boleh menyumbang kepada budaya toksik.

Perkongsian yang mengakibatkan kesan negatif terhadap emosi dan tingkah laku warga siber.

Pensyarah Kanan FKPM, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Melaka, Norazlinda Mohammad

Akhir-akhir ini, kita lihat semakin ramai masyarakat kerap menggunakan media sosial untuk berkongsi sesuatu yang tidak sepatutnya, selain menjadikan ia sebagai tempat meluahkan ketidakpuasan hati terhadap pihak lain.

Masyarakat haruslah lebih peka dan bertanggungjawab terhadap apa sahaja perkongsian. Meskipun perkongsian tersebut dianggap remeh, namun kadang kala ia boleh menjadi isu yang besar atau provokatif kerana ia mengundang perhatian ramai.

Luahan berunsur provokatif dan kenyataan melampau yang dimuat naik di media sosial boleh menyebabkan tekanan, kebimbangan, kegusaran, kemurungan dan ketidakpastian kepada pengguna lain.

Tidak dinafikan kita sedang menghadapi kesukaran hidup disebabkan pandemik Covid-19, krisis kekurangan bekalan makanan, risiko kesihatan mental, kenaikan harga barangan, inflasi, kemiskinan dan masalah lain tetapi dalam meluahkan perasaan kita perlu menjaga batas kesopanan atau tata susila bahasa.

Pengguna media sosial harus bijak, peka, berwaspada dan berpandangan jauh ke hadapan sebelum mengemas kini status atau memuat naik komen-komen di media sosial.

Objektif mempunyai akaun media sosial adalah untuk berkongsi maklumat penting bukan untuk berkongsi mesej yang sarat dengan kebencian, meluahkan rasa marah atau tidak puas hati pada rakan sekerja atau organisasi di mana tempat anda bekerja.

Status yang ditulis boleh membawa kepada fitnah yang akan mencerminkan personaliti, sikap dan imej diri anda sebagai seorang yang terlalu mengikut mengikut emosi dan berperlakuan tidak rasional.

Sesetengah pengguna media sosial, selebriti dan pempengaruh media sosial pula juga cenderung berkongsi kisah peribadi seperti pertelingkahan, gaya hidup mewah, kehidupan romantik dan konflik rumahtangga secara terbuka di media sosial.

Apabila ia menarik perhatian komuniti dalam talian dan mengundang kecaman, mereka mula menuding jari menyalahkan pihak lain yang dikatakan menceroboh ruang peribadi mereka.

Walaupun banyak kejadian yang boleh dijadikan contoh serta teladan, namun disebabkan keghairahan berkongsi segalanya di media sosial, mereka sering terlupa akibat buruk sikap tersebut.

Jadilah pengguna media sosial yang bijak, bertanggungjawab dan sensitif.

Tidak kira betapa pantas dan luasnya teknologi internet dan rangkaian media sosial, ia tidak boleh menggantikan hubungan manusia di dunia sebenar.

Komuniti dalam talian sewajarnya memanfaatkan media sosial sebagai wadah berkongsi mesej positif dan kata-kata motivasi, bukan untuk menyiarkan mesej negatif atau rasa tidak puas hati.

Mereka perlu bijak mencipta suasana positif dan persekitaran siber yang sihat seperti berkongsi kesedaran mengenai isu global atau membantu golongan yang memerlukan dengan melancarkan kempen dalam talian atau derma kilat.

Elakkan daripada menyiarkan mesej provokatif atau melakukan penipuan dalam talian dan bersikap kebudak-budakan semata-mata untuk menarik perhatian orang ramai.

Hentikan sikap mementingkan diri sendiri dengan memuat naik kandungan untuk tatapan ramai hanya untuk mendapat tanda suka yang banyak dan pengikut yang ramai.

Sesetengah individu bersikap narkisis atau obses terhadap diri sendiri dengan kerap memuat naik gambar swafoto pelbagai gaya serta kemas kini status tentang apa yang dilakukan seharian.

Ironinya, adakah perlu untuk mempamerkan apa yang dilakukan sehingga menjadikan akaun laman sosial sebagai diari hidup untuk tatapan pengikut dan warga siber? Sebenarnya, ini adalah satu tindakan kurang bijak semata-mata untuk melarikan diri daripada perasaan bosan dan sunyi.

Malah, adakalanya niat berkongsi gaya hidup moden yang mewah sebagai motivasi untuk orang lain bekerja keras bagi mencapai kejayaan boleh disalah erti sebagai menunjuk-nunjuk kekayaan seseorang di mata awam.

Ini kerana, terdapat kepelbagaian persepsi dan juga perbezaan pendapat dalam komuniti dan masyarakat. Cara setiap individu menerima atau menghayati sesuatu bahan tersebut sebenarnya berbeza.

Oleh itu, pengguna media sosial perlu lebih berhati-hati dengan apa yang mereka ingin kongsikan sebagai tatapan umum.

Jangan memuat naik perkongsian secara melulu, jadilah seorang yang praktikal

Mutakhir ini, dunia sedang menghadapi krisis global seperti kemiskinan, kekurangan makanan, inflasi yang tinggi, kebuluran, ketidaksamaan ekonomi, kesihatan mental dan lain-lain.

Masyarakat mestilah bersikap praktikal dan bertindak secara waras dalam memuat naik kandungan di rangkaian siber.

Elakkan sikap mementingkan diri sendiri dengan berkongsi sorotan gaya hidup mewah, barangan berjenama yang dimiliki atau gambar percutian mewah, hidangan lazat yang dinikmati serta kejayaan di tempat kerja di akaun media sosial kerana ia boleh mengundang perasaan tidak puas hati, kecewa, iri hati, dan kemurungan daripada golongan yang tidak bernasib baik.

Akibatnya, media sosial anda akan dihujani komen-komen perkongsian bersifat kecaman semata-mata yang boleh mengancam kesihatan mental.

Tragisnya, dengan perkongsian yang tidak rasional atau di luar kawalan ini memungkinkan tindakan luar jangkaan kepada individu yang kurang bernasib baik atau bermasalah.

Contohnya, ia boleh mengundang kepada anasir negatif seperti penyalahgunaan dadah, tekanan mental, penderaan akibat daripada tekanan hidup dan gejala bunuh diri di Malaysia.

Fikir dahulu, sebelum berkongsi curahan hati di halaman media sosial

Ingatan kepada semua pengguna media sosial agar jangan terlalu mudah menjaja kisah sedih untuk tatapan umum di akaun media sosial.

Sebaliknya kongsikan masalah peribadi bersama ahli keluarga, sahabat rapat yang dipercayai atau kaunselor yang bertauliah.

Jika diteliti komen orang ramai atas perkongsian sebegini, ada yang memberi sokongan moral, namun tidak kurang juga yang mengecam. Tanpa segan silu, ada segelintir pengguna media sosial memberi maklum balas dengan meninggalkan komen negatif dan menggunakan perkataan tidak baik.

Persoalannya, perlukah kita memberi komen negatif atau kata-kata sokongan atas perkongsian sebegini atau abaikan sahaja? Daripada asbab komen kita mendapat kebencian, amarah, cemuhan dan ketidakpuasan hati, adalah lebih baik jika kita tidak komen sama sekali.

Setiap perkara ada hadnya, tidak semua perkara perlu dikongsi di halaman media sosial. Lain orang, lain pandangan atau budi bicara yang ditunjukkan oleh pengikut halaman media sosial.

Jadi, kita perlu fikir sebaiknya sebelum membuat sebarang perkongsian. Setiap kali emosi tidak stabil atau marah, jangan luahkan di halaman media sosial. Sebaiknya jauhi media sosial ketika marah atau sedih.

Tapis dahulu apa yang ingin dikongsi, fikirkan dahulu akibat dan kesannya. Kita juga perlu bersikap tenang, kembali kepada kepercayaan, keimanan, keyakinan kita kepada tuhan dan agama jika ditimpa sebarang masalah atau musibah.

Pentingnya ilmu literasi media bagi melahirkan masyarakat siber yang sihat

Antara impak negatif penyalahgunaan media sosial adalah perkongsian serta komen-komen yang boleh mencetuskan pergaduhan, menyebar penipuan dan fitnah serta menggugat ketenteraman awam, malah ada yang lantang mencabar kedaulatan undang-undang sehingga akhirnya menjerat diri sendiri dengan dikenakan tindakan undang-undang.

Kunci kepada masalah ini adalah kurangnya kesedaran tentang kesan penyalahgunaan media sosial. Kerajaan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) wajar mendidik masyarakat agar prihatin menggunakan media sosial secara bijak dan berhemah.

Media sosial secara amnya adalah instrumen yang penting dalam kehidupan semasa, jadi tidak wajar untuk kita menghindarnya.

Namun, masyarakat perlu dididik dengan kemahiran literasi media iaitu keupayaan menggunakan aplikasi media sosial dengan lebih peka, rasional, berhemah, beretika dan efektif, sekali gus mengurangkan kesan negatif atau budaya toksik di media sosial.

Usaha menangani isu komen melampau juga perlu diperkenalkan agar dapat mengekang budaya mencemuh dan mengecam. Tindakan mendidik dan mencegah budaya tidak sihat ini penting demi kelestarian dan mentaliti generasi akan datang supaya memiliki literasi dan pemahaman yang jitu dalam penggunaan media sosial.

Sebenarnya tidak salah untuk bersosial di media sosial tetapi ia perlu digunakan secara berhemah dan bijaksana.

Pengguna dalam talian harus sentiasa tahu keseimbangan, berkomunikasi pro-aktif dan prihatin dengan menjalani kehidupan yang seimbang di dunia nyata kerana komunikasi bersemuka menggalakkan hubungan yang lebih baik dengan memperoleh sokongan emosi daripada keluarga dan rakan-rakan di sekeliling anda.

Ini penting kerana komunikasi secara bersemuka lebih efektif dan membina kesihatan mental dan emosi agar lebih sihat dan kekal bersemangat di dalam kehidupan walau dilanda apa jua masalah hidup.

Tuntasnya, elakkan diri daripada menjadi pelaku atau mangsa toksik di laman media sosial.

Maklumat Penulis

Pensyarah Kanan FKPM, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Melaka, Norazlinda Mohammad.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok