etika 2
etika 2

Etika anjur pertandingan galakkan aktiviti kitar semula

Norliza Wasilan
12 Sep 2022 12:13pm
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengeluar minuman halal terkemuka negara, Kumpulan Etika (Etika) bekerjasama dengan Hiroyuki Industries (M) Sdn Bhd menganjurkan pertandingan kitar semula melibatkan 270 sekolah di Lembah Klang.

Pertandingan tersebut dibahagikan mengikut kategori iaitu pengumpulan botol air bersih terbanyak, menghasilkan poster digital bertemakan PET Bottle Recycle dan e-book yang menerangkan kepentingan menjaga alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etika (Malaysia, Singapura dan Brunei), Santharuban Thurai Sundaram berkata, tiga sekolah yang mencatatkan jumlah pengumpulan botol PET tertinggi akan menerima hadiah berbentuk wang tunai.

“Sekolah yang mengumpul jumlah botol PET tertinggi akan menerima hadiah RM5,000, manakala tempat kedua RM3,000 dan tempat ketiga RM2,000.

“Sekolah yang mengambil bahagian juga akan menerima 50 sen bagi satu kilogram botol PET yang dikumpulkan setiap bulan,” ujarnya sempena pelancaran Kempen Lets Rescue PET Bottles di sini, baru-baru ini.

Majlis pelancaran telah dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Kempen akan berlangsung selama setahun bermula bulan ini hingga Ogos tahun depan.

Mengulas lanjut, Santharuban Thurai memberitahu, sekolah dan pelajar yang berminat untuk mengambil bahagian boleh mendaftar mulai sekarang sehingga Ogos tahun depan secara dalam talian.

Menurutnya lagi, senarai pemenang bagi pertandingan berkenaan pula akan diumumkan pada September 2023.

“Lima sekolah terbaik yang menyertai pertandingan akan berpeluang melawat kilang Hiroyuki Industries di Johor Bahru, Johor untuk memahami lebih mendalam mengenai nilai kitar semula dan pengurusan sisa.

“Lawatan itu juga akan memberi pengalaman secara langsung tentang bagaimana syarikat tersebut mengeluarkan produknya.

"Setiap perbuatan yang kecil mampu membantu melindungi alam sekitar, oleh itu adalah sangat penting untuk pupuk tabiat hijau ini sejak kecil,” tuturnya.

Tambah beliau lagi, tidak terhad kepada penyertaan sekolah, pihaknya juga menggalakkan institusi pengajian tinggi (IPT) di Lembah Klang untuk turut serta mengambil bahagian.

Pendaftaran boleh dibuat melalui https://forms.gle/QPS4K2Lqv672SAU98 atau boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Etika menerusi www.etikaholdings.com.

Artikel berkaitan

Etika lancar kempen Lets Rescue PET Bottles di sekolah

Cipta model roket bahan api pepejal ketika usia 9 tahun, Khawo kini ‘Rocketeer Termuda Malaysia’

Penyelidik Biosains cadang tepung ubi gadong jadi alternatif ketika krisis tepung gandum


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok