etika 1
etika 1

Etika lancar kempen Lets Rescue PET Bottles di sekolah

Norliza Wasilan
02 Sep 2022 06:13pm
A
A
A

Bagi menggalakkan aktiviti kitar semula, pengeluar minuman halal terkemuka, Etika Group of Companies (Etika) melancarkan kempen Lets Recue Pet Bottles di 270 sekolah di Lembah Klang.

Untuk tujuan itu, Etika bersama sebuah syarikat pengeluar Jalur Polypropylene (PP) dan Polyester (PET) berkualiti dari Jepun, Hiroyuki Industries (M) Sdn Bhd telah bekerjasama untuk melaksanakan pelbagai aktiviti bagi menarik penyertaan pelajar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etika (Malaysia, Singapura dan Brunei), Santharuban Thurai Sundaram berkata, kempen berkenaan diadakan bertujuan menggalakkan aktiviti kitar semula, sekali gus memberi impak positif kepada alam sekitar.

Ini kerana, ujarnya, kelestarian adalah inisiatif berterusan yang diharapkan dapat memberi manfaat bukan saja kepada alam sekitar tetapi juga mendidik generasi akan datang.

“Beberapa pertandingan antaranya mengumpul botol air bersih terbanyak, membuat poster digital bertemakan PET Bottle Recycle dan E-Book yang menerangkan kepentingan menjaga alam sekitar juga akan diadakan.

“Selain itu, sekolah yang mengambil bahagian juga akan menerima RM0.50 sekilogram untuk botol PET yang dikumpulkan setiap bulan.

“Setiap perbuatan yang kecil mampu membantu melindungi alam sekitar, oleh itu adalah sangat penting untuk memupuk tabiat hijau ini sejak kecil,” ujarnya ketika Pelancaran Kempen Lets Rescue PET Bottles di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Mengulas lanjut, Santharuban berkata, tiga sekolah dengan koleksi botol PET terbanyak akan menerima hadiah RM5,000 untuk pemenang pertama; RM3,000 (tempat kedua) dan RM2,000 (tempat ketiga).

“Senarai pemenang akan diumumkan pada September tahun depan.

“Lima sekolah terbaik akan diberi peluang melawat kilang Hiroyuki Industries di Johor Bahru, Johor untuk memahami lebih mendalam mengenai nilai kitar semula dan pengurusan sisa,” ujarnya.

Sehubungan itu, Santharuban berkata, pihaknya menggalakkan penyertaan pelajar sekolah di Lembah Klang untuk mengambil bahagian sepanjang kempen Lets Rescue PET Bottles bermula sekarang sehingga Ogos tahun depan.

Ujarnya, mereka boleh mendaftar di https://forms.gle/QPS4K2Lqv672SAU98  atau mendapatkan maklumat lanjut menerusi www.etikaholdings.com.

Artikel berkaitan

3 pelajar USM lakar kejayaan dalam pertandingan ICT

Kejayaan di peringkat antarabangsa, bukti kecemerlangan Sekolah Seri Puteri dalam bidang STEM

4 guru KV Keningau lakar kejayaan di Amerika Syarikat


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok