Fadhlina ucap takziah kepada keluarga Nur Farah Kartini
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarhamah Nur Farah Kartini Abdullah yang dilaporkan dijumpai mati dibunuh selepas hilang sejak Rabu lalu.
“Takziah kepada seluruh keluarga Allahyarhamah Nur Farah Kartini Abdullah.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Sebelum ini media melaporkan, misteri kehilangan seorang wanita yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas dipercayai menghantar kereta sewa kepada pelanggan.
Wanita berkenaan merupakan alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) dengan kepujian dilihat kali terakhir memakai pakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar slack hitam.
Namun sejak malam tadi seluruh warga maya dikejutkan dengan berita penemuan mayat wanita yang berasal daripada Sarawak itu disyaki dibunuh pada Isnin.