Program Cuti-Cuti Cikgu antara 10 prakarsa baharu diumum sempena Hari Guru 2023. Kredit foto: Drogatnev/123RF
Program Cuti-Cuti Cikgu antara 10 prakarsa baharu diumum sempena Hari Guru 2023. Kredit foto: Drogatnev/123RF

Fadhlina umum 10 berita baik sempena Hari Guru

ROSHLAWATY MD RAIEH
16 May 2023 04:10pm
A
A
A

Sambutan Hari Guru tahun ini pastinya menjadi satu kenangan manis kepada seluruh warga pendidik apabila mereka menerima 10 berita baik daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Pengumuman yang dibuat sempena Sambutan Hari Guru 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka pada Selasa menyaksikan 10 inisiatif itu dapat membantu mengurangkan kos sara hidup, merancakkan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan negara.

Sinar Bestari senaraikan 10 prakarsa yang diumumkan Menteri Pendidikan

1) Penambahbaikan surat Pekeliling Ikhtisas Bil 5/2022: Lawatan murid sekolah semasa hari persekolahan diberikan dua kali dalam setahun bagi setiap murid.

2) Peluasan Sekolah Komprehensif K9: Pertambahan 10 buah sekolah dalam usaha mengatasi isu keciciran murid khususnya di kawasan pedalaman dan Orang Asli.

3) Peluasan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK): Perluasan SBJK ke negeri Sabah untuk memberi akses pendidikan kepada semua murid.

4) Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP): Pengambilan guru diperluaskan kepada graduan berpotensi tinggi dari universiti swasta dan universiti luar negara bagi mata pelajaran kritikal.

5) Baju korporat rasmi KPM: KPM memberi kelonggaran kepada guru memakai baju korporat bagi memberi keselesaan semasa bertugas.

Artikel Berkaitan:

6) Sumbangan Hari Guru: KPM memansuhkan sebarang kutipan sumbangan daripada guru bagi tujuan majlis Hari Guru.

7) Kumpulan Guru Insani Malaysia: KPM akan memperluas penglibatan semua guru termasuklah pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) sebagai Guru Insani Malaysia.

8) Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO): Mempertingkatkan peranan YGTHO dalam meningkatkan profesionalisme guru dan menjaga kebajikan guru.

9) Standard Guru Malaysia (SGM) 2.0: Penyertaan guru dalam SGM 2.0 melalui SGMy diiktiraf dan dianugerahkan mata kredit dalam Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia (SPLKPM).

10) Program Cuti-Cuti Cikgu: KPM dengan kerjasama rakan strategik menyediakan peluang merehatkan minda melalui Program Cuti-Cuti Cikgu mampu milik.

Dengan berita baik ini, Sinar Bestari berharap ia mampu memberikan keceriaan dan kegembiraan kepada guru-guru di negara ini.

Sebelum itu, sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan ke-52 yang bertemakan 'Guru Insani Pemangkin Generasi Madani' telah dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di MITC pada Selasa.

Ketibaan beliau disambut Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Fadhlina dan beberapa pegawai kanan KPM.

Beberapa program telah diadakan bersempena Hari Guru tahun ini antaranya program Anugerah Guru Inspirasi (AGI) McDonald's 2023, majlis makan malam anjuran kerajaan negeri dan penyampaian beberapa Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok