Kesenjangan digital sekolah di kawasan bandar dan luar bandar menjadi cabaran kepada guru-guru walaupun tahun berganti tahun. Gambar kecil: Cikgu Muhamad Fared.
Kesenjangan digital sekolah di kawasan bandar dan luar bandar menjadi cabaran kepada guru-guru walaupun tahun berganti tahun. Gambar kecil: Cikgu Muhamad Fared.

Warga pendidik Sabah impikan sinar mendepani cabaran 2024

ASYIKIN ASMIN
02 Jan 2024 03:14pm
A
A
A

Kehadiran Tahun Baharu 2024 sudah tentu disusuli dengan cabaran baharu bagi warga pendidik di negara ini.

Tidak terkecuali warga pendidik di Sabah yang sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran dalam usaha mendidik anak bangsa.

Guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong, Beaufort, Sabah, Cikgu Muhamad Fared Zulkafli, 45, berpandangan, antara cabaran yang akan dihadapi terutama guru di negeri ini adalah kesenjangan digital antara sekolah di bandar dan luar bandar.

"Kesenjangan digital sekolah di kawasan bandar dan luar bandar menjadi cabaran kepada guru-guru walaupun tahun berganti tahun.

"Dalam masa sama, guru juga perlu menyesuaikan pedagogi mengajar untuk generasi yang begitu hebat dengan teknologi digital," katanya ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.

Tambah Muhamad Fared yang juga guru Akademik Tingkatan Enam (Pengajian Am) dalam konteks pra universiti, terdapat tekanan dari segi akademik bagi pelajar Tingkatan Enam untuk cemerlang dan seterusnya lulus dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Kekurangan minat membaca dan disiplin belajar pada sebilangan pelajar yang terpengaruh gajet dan media sosial menjadi cabaran guru supaya mereka cemerlang mendepani STPM.

"Sudah tentu guru-guru perlu memberi sepenuh perhatian untuk memotivasikan pelajar yang kurang berminat untuk belajar seterusnya melanjutkan pengajian di peringkat tinggi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selaras dengan cabaran yang dihadapi, Cikgu Muhamad Fared mengharapkan tahun 2024 akan adanya peningkatan dari segi penggunaan teknologi dalam pengajaran.

"Kita mahu memanfaatkan teknologi digital dan alat bantu pengajaran terbaharu untuk meningkatkan pengalaman belajar siswa.

"Diharapkan juga ada peningkatan dari segi mutu pendidikan secara keseluruhan dengan harapan dapat memberikan pendidikan berkualiti tinggi agar pelajar dapat menghadapi cabaran di masa depan," katanya.

Dalam aspek pendidikan Tingkatan Enam, diharap lebih ramai pelajar memilih medium ini untuk melanjutkan pendidikan ke universiti setanding dengan Asasi dan Matrikulasi.

"Saya juga berharap meningkatnya prestasi akademik pelajar dalam peperiksaan awam seperti STPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok