Penubuhan pusat bertaraf antarabangsa bakal melonjakkan lagi nama politeknik nanti.
Penubuhan pusat bertaraf antarabangsa bakal melonjakkan lagi nama politeknik nanti.

Politeknik Besut bangunkan Pusat Teknologi Kraf Warisan tahun ini

22 Jan 2024 05:49pm
A
A
A

Pusat Teknologi Kraf Warisan (PTKW) yang merupakan pusat kecemerlangan industri batik bakal dibangunkan di Politeknik Besut, Terengganu tahun ini dalam usaha merancakkan lagi industri batik negara.

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dr Mohd Zahari Ismail berkata, Politeknik Besut satu-satunya institusi pendidikan tinggi di bawah KPT yang menawarkan pengajian berkaitan batik.

"Program pengajian sedia ada yang ditawarkan di politeknik ini ialah Diploma Rekabentuk Kraf dan Diploma Rekabentuk Fesyen Batik di bawah Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual.

"PTKW dijangka ditubuhkan dalam tempoh tiga hingga enam bulan daripada sekarang apabila semua proses berkaitan selesai," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Galeri Kraf Warisan Politeknik Besut dekat Bukit Keluang, pada Ahad.

Mohd Zahari berkata, penubuhan pusat bertaraf antarabangsa itu bakal melonjakkan lagi nama politeknik selaras dengan arahan kerajaan 21 Ogos tahun lepas yang mewajibkan penjawat awam memakai pakaian batik setiap Khamis selain saranan memakainya pada hari biasa.

Penggunaan teknologi terkini

Sementara itu, beliau berkata, PTKW akan memberi fokus kepada penggunaan teknologi terkini dalam industri batik.

Artikel Berkaitan:

Ia termasuk memperkenalkan penghasilan produk berkenaan melalui teknologi digital dalam pelaksanaan kokurikulum pengajian.

Pusat itu juga katanya, akan membolehkan kolaborasi lebih aktif dengan pemain atau sektor industri batik khususnya di Terengganu melalui program pertukaran pengetahuan dan kepakaran.

"PTKW turut memberi peluang kepada pelajar dan orang luar meningkatkan ilmu mereka dalam bidang berkaitan dan para graduan boleh menyambung pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi atau menjadi usahawan kelak.

"Kita yakin ia (PTKW) akan membantu industri batik negara untuk berada di tempat lebih tinggi dengan cepat," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zahari memaklumkan, setakat ini terdapat 12 buah pusat teknologi dalam pelbagai disiplin pengajian berada di 12 daripada 36 buah politeknik dan empat lagi iaitu masing-masing dua di dua Kolej Komuniti di seluruh negara. - BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok