Fadhlina umum langkah segera tangani isu guru bersara awal
Trend guru bersara awal bukanlah isu baharu di negara ini.
Sejak dulu hingga sekarang, bilangan cikgu yang bersara awal semakin meningkat malah ramai menganggap punca guru bersara awal disebabkan sistem pendidikan negara, bebanan kerja dan sebagainya.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya mengambil maklum isu tersebut dan akan mengambil langkah segera bagi mengisi kekosongan jawatan guru terbabit.
Ujarnya, terdapat pelbagai faktor guru-guru ini bersara awal dan situasi tersebut bukan semata-mata dipengaruhi sebab negatif.
“Banyak faktor yang menyebabkan mereka bersara awal.
“Sebagai contoh, faktor keluarga dan kewangan yang sudah stabil. Selain itu, punca pendidik bersara awal juga disebabkan isu kesihatan, kesenjangan menguasai digital dan masalah lain seperti masalah mental.
“Bagi menangani masalah tersebut, Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan pelbagai langkah dalam menangani perkara ini, termasuklah berbincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan dalam memastikan tempat guru yang bersara awal ini segera diganti,” ujar Fadhlina.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis iftar bersama warga pendidikan di Institut Pendidikan Guru Perlis pada Ahad.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pihaknya sentiasa meningkatkan profesionalisme agar guru terus bertahan dalam sistem pendidikan.
Malah katanya, KPM turut mewujudkan ekosistem sokongan yang berkait rapat dengan hubungan kesihatan mental dan emosi, sokongan profesionalisme serta pembangunan agar guru dapat melihat hala tuju kerjaya mereka dengan jelas.
Tahun lalu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dalam satu kenyataan menganggarkan lebih 10,000 guru membuat pilihan bersara awal setiap tahun.
Angka itu jauh lebih tinggi berbanding statistik dikeluarkan KPM pada 2021 iaitu sebanyak 4,360 permohonan persaraan pilihan dibuat oleh guru, bermula Januari tahun sama.