Langkah tangani keciciran murid
Keciciran murid merupakan salah satu isu pendidikan paling kritikal yang dihadapi di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Secara global, keciciran murid bukan hanya memberi tekanan kepada sistem pendidikan tetapi juga membawa implikasi jauh ke dalam struktur sosial dan ekonomi sebuah negara.
Di Malaysia, keciciran murid sering kali berkait rapat dengan pelbagai faktor seperti kemiskinan, kurangnya akses pendidikan berkualiti, isu-isu sosial dalam keluarga dan kekurangan motivasi akademik.
Fenomena ini membawa kesan mendalam yang berlarutan, tidak hanya kepada individu terlibat tetapi juga kepada masyarakat dan ekonomi negara secara keseluruhannya.
Dari segi ekonomi, murid tercicir pendidikan cenderung menghadapi masa depan yang suram dengan peluang pekerjaan terhad.
Ini menyebabkan mereka kerap terjebak dalam lingkaran kemiskinan.
Ketiadaan pendidikan yang lengkap mengurangkan potensi pendapatan individu dan secara tidak langsung mengurangkan sumbangan mereka kepada ekonomi negara.
Selain itu, kekurangan pekerja yang berkemahiran tinggi menjejaskan daya saing negara dalam pasaran global.
Dari sudut sosial, keciciran murid sering kali berkait dengan peningkatan kadar jenayah, ketidakstabilan keluarga dan masalah kesihatan mental.
Masyarakat yang memiliki kadar keciciran tinggi cenderung mengalami ketidaktentuan sosial di mana generasi muda kehilangan arah dan tujuan dalam kehidupan.
Ini bukan hanya tentang kehilangan potensi individu, tetapi juga tentang potensi yang tidak dapat dimanfaatkan oleh masyarakat dan negara.
Secara keseluruhan, isu keciciran murid adalah satu cabaran yang memerlukan pendekatan komprehensif untuk ditangani.
Ini bukan hanya tanggungjawab sektor pendidikan semata-mata tetapi memerlukan kerjasama merentasi pelbagai sektor yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk keluarga, masyarakat, sektor swasta dan kerajaan.
Dengan pendekatan yang bersepadu dan berterusan, barulah kita dapat mengharapkan penyelesaian berkesan terhadap masalah ini.
Peranan pemimpin komuniti setempat
Salah satu entiti penting dalam struktur masyarakat di negara ini ialah pemimpin institusi agama baik dari kelompok agama Islam, Hindu dan Buddha.
Dalam penulisan ini, penulis menfokuskan peranan imam-imam di masjid kerana umat Islam adalah kumpulan majoriti.
Imam-imam di masjid memegang peranan penting sebagai pemimpin rohani dalam komuniti Muslim.
Mereka mempunyai pengaruh besar terutamanya melalui khutbah Jumaat yang merupakan platform sangat penting untuk menyampaikan mesej kepada umat Islam.
Isu pendidikan dan keciciran murid harus dijadikan topik utama dalam khutbah kerana ini adalah masa di mana umat Islam berkumpul dengan jumlah yang banyak dan memberi perhatian kepada kata-kata imam.
Penggunaan khutbah Jumaat untuk membincangkan isu keciciran murid mempunyai beberapa kelebihan.
Pertama, ia memberi peluang kepada imam untuk menyampaikan mesej tentang kepentingan pendidikan dari sudut pandangan Islam dan mengaitkannya dengan ajaran agama yang menekankan tentang ilmu dan pembelajaran.
Kedua, imam dapat menyentuh tentang kesan keciciran terhadap individu dan masyarakat seperti masalah sosial dan ekonomi yang timbul akibat pendidikan yang tidak lengkap.
Ketiga, imam dapat menggunakan kesempatan ini untuk menggalakkan ibu bapa mengambil tanggungjawab dalam mendidik anak-anak mereka, serta mengingatkan masyarakat tentang tanggungjawab kolektif dalam membantu murid yang tercicir.
Namun, cabaran dalam pendekatan ini termasuk keperluan untuk imam memiliki pengetahuan yang mendalam tentang isu pendidikan dan keciciran serta keupayaan untuk mengaitkan isu ini dengan ajaran Islam.
Ini mungkin memerlukan sumber dari pihak berautoriti seperti Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk membantu membekalkan maklumat kepada para imam berdasarkan lokaliti.
Selain itu, perlu ada kesinambungan dalam mesej yang disampaikan agar kesedaran ini dapat terus berlangsung dan bukan hanya menjadi topik semasa yang segera dilupakan.
Kenal pasti dan bantu asnaf serta keluarga miskin
Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid mempunyai tanggungjawab penting dalam mengenal pasti dan membantu asnaf serta keluarga miskin dalam komuniti.
Pengagihan zakat merupakan salah satu instrumen kritikal dalam Islam untuk mengatasi kemiskinan yang secara langsung dapat membantu mengurangkan keciciran murid.
Namun, cabaran yang dihadapi dalam konteks ini bukan hanya mengenal pasti penerima zakat tetapi juga memastikan pengagihan dilakukan dengan adil dan efektif.
Dalam masyarakat yang heterogen, menentukan kriteria penerima zakat yang adil dan tepat adalah penting.
AJK masjid, pemimpin setempat dan badan berkuasa agihan zakat iaitu pusat zakat di negeri-negeri perlu bekerjasama untuk mengumpulkan data tepat mengenai keluarga yang memerlukan.
Ini memerlukan pendekatan yang lebih sistematik dan teratur agar bantuan zakat dapat disalurkan kepada yang benar-benar memerlukan.
Selain itu, pengagihan zakat juga harus disertakan dengan pendidikan dan bimbingan kepada penerima.
Ini termasuk memberi nasihat tentang pengurusan kewangan, pentingnya pendidikan untuk anak-anak mereka dan cara-cara untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
Dengan cara ini, zakat bukan sahaja memberikan bantuan kewangan sementara tetapi juga membantu keluarga miskin untuk keluar dari lingkaran kemiskinan dan memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang layak.
Ketua kampung sama ada melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) serta Majlis Ketua Kampung (MKK) memainkan peranan yang sangat penting dalam struktur sosial masyarakat setempat.
Mereka boleh dianggap sebagai pemimpin yang dekat dengan rakyat dan mempunyai pengaruh yang besar dalam komuniti.
Oleh itu, ketua kampung berada dalam kedudukan yang baik untuk mengenal pasti dan menangani isu keciciran murid di kawasan mereka.
Mereka boleh berfungsi sebagai jambatan antara keluarga, sekolah dan pihak berkuasa setempat dalam menangani isu ini.
Ketua kampung harus mengambil inisiatif untuk memahami sebab-sebab yang mendasari keciciran murid di komuniti mereka.
Ini boleh termasuk faktor-faktor seperti kemiskinan, masalah keluarga, atau kekurangan sumber pendidikan.
Melalui pertemuan dan dialog terbuka dengan keluarga, ketua kampung dapat mengumpulkan maklumat penting yang dapat membantu dalam merancang strategi intervensi.
Selain itu, ketua kampung melalui jawatankuasa setempat juga boleh menganjurkan dan menyokong program pendidikan komuniti, seperti kelas tambahan, bengkel untuk ibu bapa dan aktiviti yang melibatkan anak-anak muda.
Inisiatif-inisiatif ini tidak hanya memberi manfaat kepada anak-anak yang berisiko tercicir tetapi juga membantu dalam membangun komuniti yang lebih berpendidikan dan berdaya tahan.
Kerjasama pelbagai pihak
Kerjasama antara pemimpin setempat dan pihak sekolah adalah kunci dalam membangunkan strategi yang berkesan untuk menangani isu keciciran.
Kerjasama ini harus melampaui formaliti dan menjadi usaha bersama yang berkesan, memanfaatkan kekuatan dan sumber yang ada dalam masyarakat dan sekolah.
Salah satu cara untuk melakukannya adalah melalui jalinan kerjasama antara sekolah dan organisasi komuniti, termasuk masjid, kelab-kelab sosial dan NGO.
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) harus dijadikan sebagai platform untuk membawa masalah ini kepada perhatian yang lebih luas.
Pemimpin setempat harus berkerja sama dengan PIBG untuk mengenalpasti murid yang berisiko dan mengembangkan program intervensi yang sesuai.
Ini boleh termasuk bantuan kewangan, program bimbingan dan aktiviti pembangunan kemahiran.
Pemimpin setempat juga perlu mengambil peranan aktif dalam merancang dan melaksanakan program-program ini.
Ini bukan hanya tentang menyediakan sumber tetapi juga tentang memberi contoh kepemimpinan dan komitmen terhadap pendidikan.
Kerjasama ini haruslah berorientasikan tindakan dan berfokus pada hasil yang konkrit seperti peningkatan kadar kehadiran sekolah dan peningkatan prestasi akademik.
Pendidikan adalah asas kepada pembangunan masyarakat dan negara dan seharusnya melampaui perbezaan ideologi politik.
Pemimpin masyarakat setempat, tidak kira latar belakang politik mereka, harus bersatu dalam memandang pendidikan sebagai amanah bersama.
Ini bererti meletakkan, kepentingan pendidikan di atas perbezaan politik dan ideologi dan bekerja bersama untuk mencapai matlamat yang sama.
Perbezaan ideologi sering kali mengakibatkan perpecahan dan menghalang usaha bersama dalam menangani isu sosial, termasuk pendidikan.
Untuk mengatasi hal ini, pemimpin masyarakat perlu mencari titik persefahaman dan bersedia untuk bekerjasama dalam isu-isu yang mempengaruhi masa depan anak-anak dan generasi akan datang.
Ini termasuk membina dialog yang konstruktif, menghormati perbezaan pendapat, mencari solusi yang berkesan dan inklusif.
Dengan kesatuan dan fokus kepada tujuan bersama, kita dapat mencipta perubahan positif dalam persekitaran pendidikan dan memastikan semua anak-anak di negara ini tidak tercicir dari persekolahan.
Maklumat Penulis
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Fairuz Jafar
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my