Zambry
Zambry

Fakulti AI pertama negara dirasmikan 10 Mei ini - Zambry

04 May 2024 10:14pm
A
A
A

Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) pertama negara ini bakal dirasmikan 10 Mei ini, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, acara perasmiannya akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Di peringkat permulaan, Fakulti Kecerdasan Buatan bermula di UTM (Universiti Teknologi Malaysia) dan ada juga konsortium dengan universiti yang lain juga.

"Ini sebagai permulaan kerana kalau kita mahu jadikan fakulti itu (AI) benar-benar fakulti yang mempunyai kualiti yang baik, kita boleh mendapatkan kepakaran-kepakaran yang ada di universiti lain untuk turut bersama menjayakan penubuhan fakulti ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jom Masuk U (JMU) 2024 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Cawangan Seri Iskandar, Perak pada Sabtu.

Sebelum ini, Zambry dilaporkan berkata, sebagai permulaan, program Ijazah Sarjana Muda AI telah diluluskan di peringkat Jawatankuasa Pendidikan Tinggi (JKPT) pada Januari lepas dan pelajar kohort pertama program itu akan memulakan pengajian Oktober ini.

Beliau berkata, pembangunan dan kokurikulum AI telah dikenal pasti menepati keperluan industri, melibatkan pakar-pakar bidang AI serta seiring dengan Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 yang dirangka oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Sementara itu, Zambry berkata, penganjuran JMU 2024 bertujuan mempromosi maklumat mengenai program pendidikan yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merangkumi universiti awam, institusi pendidikan tinggi swasta, politeknik, kolej komuniti serta penglibatan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, JMU 2024 diadakan di 10 zon antaranya di Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan, UiTM cawangan Sabah dan Sarawak serta Universiti Malaysia Perlis bermula hari ini hingga 9 Jun depan. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok