HomeBuletinFakulti Seni Senimatik MMU dipindahkan ke Kampus Cyberjaya

Artikel Berkaitan

Fakulti Seni Senimatik MMU dipindahkan ke Kampus Cyberjaya

SHAH ALAM – Universiti Multimedia (MMU) baru-baru ini mengumumkan pemindahan Fakulti Seni Senimatik (FCA) dari kampus Iskandar Puteri Johor ke Cyberjaya yang melibatkan semua pelajar peringkat asasi dan ijazah sarjana muda.

Presiden MMU, Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud menyifatkan perpindahan berkenaan sebagai amat penting dan tepat pada masanya bagi membolehkan universiti menghasilkan graduan yang lebih kompeten dengan mengambil kira trend semasa dan permintaan pasaran.

“Dengan perpindahan ke Cyberjaya ini, para pelajar FCA akan mendapat manfaat yang besar kerana mereka boleh bergaul dengan pelajar lain daripada pelbagai disiplin.

“Dalam pembangunan pelajar untuk jangka masa panjang, kami merasakan bahawa pelajar perlu ditempatkan dalam suasana yang terdapat pelbagai disiplin supaya mereka lebih mudah menyesuaikan diri dan berdaya saing,” katanya.

BACA JUGA: MMU Tawar Yuran Istimewa Pengambilan September 2021
BACA JUGA:3 Penyelidik MMU tersenarai antara Top 2% Scientists in the World

Menurut Mazliham lagi, beliau percaya perpindahan itu akan turut memberi manfaat kepada seluruh komuniti MMU.

“Sebagai contoh, pelajar kejuruteraan boleh mempelajari tentang proses produksi media manakala pelajar kewangan dan bidang lain akan belajar bagaimana hendak mendapatkan pelaburan dalam projek perfileman dan sebagainya,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, para pelajar pelbagai bidang boleh sama-sama memanfaatkan potensi mereka dalam silang disiplin.

Mazliham turut menambah, dari perspektif sumber manusia, perpindahan itu amat relevan kerana industri kreatif dan hiburan Malaysia banyak tertumpu di sekitar Lembah Klang.

“Memandangkan ramai tenaga pengajar FCA terdiri daripada pengamal industri yang aktif khususnya yang berada di Lembah Klang, ini memudahkan pihak universiti mendapatkan tenaga pengajar berpengalaman dalam bidang perfileman.

“Dengan kepakaran tenaga pengajar berpengalaman daripada industri, pelajar akan mendapat pendedahan yang lebih luas dan seterusnya meningkatkan ilmu dan kepakaran mereka,” jelasnya.

Sebagai persediaan untuk perpindahan ke kampus Cyerjaya, MMU telah menambah kemudahan baharu selain menaik taraf beberapa kemudahan sedia ada di kampus itu.

Ini termasuk pawagam, yang akan digunakan untuk tayangan filem, kuliah dan forum, makmal pascaproduksi untuk penyuntingan filem, kesan visual dan penggredan warna, serta studio bunyi untuk reka bentuk bunyi, dan rakaman bunyi turut dinaik taraf.

Studio pementasan juga telah dipertingkatkan ciri-cirinya untuk pembikinan filem, reka bentuk set dan kesan visual, serta kemudahan produksi berbilang kamera. Kemudahan ini adalah untuk produksi TV, penyiaran dan rakaman studio untuk menyediakan korikulum pengajaran yang komprehensif.

Semua pelajar FCA dijangka kembali ke kampus sepenuhnya untuk sesi pengajaran dan pembelajaran pada awal tahun 2022.

Artikel Terkini