

Manfaat berganda dengan Latihan Industri TV PSS
Kehadiran seramai 72 pelajar dari 23 sekolah di seluruh Malaysia, mencerminkan bahawa Latihan Industri TV Pusat Sumber Sekolah (PSS) amat dinanti-nantikan.
Peserta yang terlibat menyatakan rasa teruja kerana dapat mendalami selok-belok dunia media secara langsung melalui latihan intensif dan interaktif.
Bagi mereka, peluang itu amat berharga kerana dapat mempelajari ilmu baharu seperti teknik penyuntingan video, pengacaraan dan produksi program pendidikan.
Pelajar juga meluahkan rasa bangga kerana dapat bekerjasama dengan rakan dari sekolah lain sekali gus mengeratkan hubungan persahabatan di samping bertukar pandangan dan idea.
Tidak kurang juga guru-guru dan ibu bapa yang mengiringi pelajar begitu gembira apabila melihat kesungguhan anak didik mereka.
Ikuti perkongsian dan pendapat mereka nengenai Latihan Industri TV PSS selama dua hari pada 29 dan 30 April lalu!
"Tahniah kepada Sinar Bestari dan Sinar Harian yang melaksanakan Latihan Industri TV PSS ini. Saya mencadangkan agar pihak Akademi Pendidikan boleh menjemput pengacara yang profesional seperti Datuk Aznil Nawawi.
"Ini kerana ilmu teori sudah disampaikan kepada pelajar, jadi mereka memerlukan praktikal yang benar-benar daripada individu profesional.” - Guru SK Kampung Medan, Telok Panglima Garang, Adzuan Hafiz Ahmed.
"Sebenarnya program ini bagus dilaksanakan. Pendedahan awal kepada pelajar terutama murid sekolah rendah sangat dialu-alukan kerana mereka boleh menggunakan teknik pembelajaran ini pada masa akan datang.
"Mereka boleh menggunakan ilmu yang diajar walaupun secara asas di sekolah dan tidak terkial-kial apabila sudah memasuki sekolah menengah. Mungkin Sinar Bestari boleh panjangkan lagi program ini terutama sesi pembelajaran teknik merakam dan menyunting video.” - Guru SK Seksyen 19, Mohd Safwan Khalid
"Saya diberi pendedahan untuk menjadi seorang wartawan yang beretika, apa patut atau tidak patut dinyatakan dalam penulisan, perkara sensitif seperti isu perkauman atau menyebelahkan suatu pihak dan lain-lain.
"Saya juga seronok kerana dapat berpeluang untuk melihat sendiri petugas di Kumpulan Karangkraf terutama di Sinar Bestari dan Sinar Harian bekerja, dapat masuk serta sertai audio siar dalam studio.” - Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Utama, Nur Zakirah Syaiful Anwar, 15.
"Saya rasa seronok sepanjang dua hari ini, sebab Latihan Industri TV PSS membantu saya dan kawan-kawan untuk menyiarkan video atau artikel lebih menarik dengan mengikuti etika kewartawanan yang sebenar.
"Jika aktiviti sekolah, kami hanya membuat kandungan dan dipantau oleh guruguru. Kru media sekolah juga hanya mengetahui teknik merakam secara asas,” - Pelajar Sekolah Kebangsaan Puchong Indah, Selangor, Aina Irdina Halim, 10
"Saya baharu sahaja terlibat dengan kumpulan media sekolah kerana minat. Saya berminat untuk menjadi salah seorang yang berada dalam dunia media. Tetapi pendedahan di sekolah hanya diberikan secara asas.
"Cikgu kami bawa kami ke Latihan Industri TV PSS untuk merasai sendiri pengalaman untuk bekerja seperti orang media sebenar. Walaupun program ini berlangsung selama dua hari, namun apa yang kami pelajari lebih daripada cukup.” - Pelajar SMK (P) Raja Zarina, Aisyah Safiyyah Iman Shafarin, 14.