
EDU@INNOVATE 2025 bukan sekadar pertandingan sebaliknya medan inspirasi, kolaborasi & harapan
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mempamerkan kredibiliti sebagai institusi peneraju pendidikan di Malaysia apabila berjaya menganjurkan Pertandingan Inovasi Antarabangsa dikenali EDU@INNOVATE 2025 dengan penuh meriah dan berimpak tinggi.
Bertempat di kampus UPSI, pertandingan dua hari yang berlangsung pada 19 dan 20 Mei 2025 itu menghimpunkan lebih 200 kumpulan dari pelbagai negara, menjadikannya antara platform inovasi pendidikan terbesar yang pernah dianjurkan oleh institusi pengajian tinggi tempatan.
Lebih mengujakan, penyertaan merangkumi pelbagai peringkat iaitu daripada murid sekolah rendah seawal usia 10 tahun, pelajar institusi pengajian tinggi, guru, pensyarah, pegawai pendidikan sehinggalah kepada profesional antarabangsa.
Program ini bukan sekadar menjadi medan pertandingan, malah menjadi wadah penting dalam membudayakan pemikiran kreatif dan penyelesaian masalah secara kritikal.
Hal ini sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan kerangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) untuk melahirkan generasi pelajar berdaya cipta serta mampu bersaing di peringkat global menerusi penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
EDU@INNOVATE 2025 memperlihatkan betapa inovasi dalam pendidikan kini bukan lagi tanggungjawab golongan pendidik sahaja, bahkan disambut baik oleh murid, pelajar dan pegawai pendidikan yang turut tampil dengan produk serta idea tersendiri.
Paling mencuri tumpuan ialah keberanian peserta cilik membentangkan inovasi mereka secara spontan di hadapan juri profesional.
Keyakinan dan kefasihan yang ditampilkan ternyata memberi gambaran jelas bahawa usia bukan penghalang dalam menyumbang kepada pembangunan ilmu dan teknologi pendidikan.
Sementara itu, EDU@INNOVATE 2025 membariskan panel penilai yang terdiri daripada pakar dan profesional pelbagai bidang, menjamin ketelusan dan mutu penilaian.
Beberapa kategori yang dipertandingkan termasuklah Pedagogi dan Kurikulum; Penilaian dan Pentaksiran; Kepimpinan dan Organisasi Pendidikan; Pembelajaran Awal Kanak-Kanak; Pendidikan Sains, Matematik dan Teknologi; Pendidikan Teknikal dan Vokasional serta Pembelajaran di Institusi Pengajian Tinggi.
Pelbagai inovasi menarik dipamerkan termasuk pendekatan baharu dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP), penggunaan teknologi digital dan penambahbaikan sistem penilaian.
Ia sekali gus membuka ruang kepada pertukaran idea dan amalan terbaik yang boleh dikembangkan ke peringkat lebih luas.
Antara penyertaan yang menarik perhatian ialah daripada barisan pegawai Nazir termasuk Jemaah Nazir Negeri Johor, Saniah Hassan.
Beliau bukan sahaja menjadi penilai, malah turut menyertai pertandingan dengan membentangkan inovasi sendiri.
"Saya menyertai pertandingan ini kerana ingin menunjukkan contoh kepada guru-guru. Jika kami sebagai pegawai boleh tampil dengan inovasi, sudah tentu guru juga mampu melakukannya," katanya.
Kenyataan beliau membuktikan bahawa kepimpinan dalam pendidikan bukan sekadar memberi arahan, tetapi juga melibatkan tindakan aktif dan memberi inspirasi melalui teladan.
Ternyata, EDU@INNOVATE 2025 bukan sekadar pertandingan ia adalah medan inspirasi, kolaborasi dan harapan untuk masa depan pendidikan yang lebih cemerlang.