WhatsApp Image 2022-03-16 at 6.33.54 PM
WhatsApp Image 2022-03-16 at 6.33.54 PM

GMSN umum Program Fellowship Pasca Kedoktoran, 3 calon berjaya dipilih

Adlan Farhan Azwan
16 Mar 2022 06:49pm
A
A
A

BANGI – Pusat Jaringan Global Pengajian Malaysia (GMSN) mengumumkan tiga calon yang telah berjaya dipilih untuk mengikuti Program Fellowship Pasca Kedoktoran yang pertama kalinya diperkenalkan.

Tiga calon tersebut dibimbing oleh sarjana kanan daripada tiga rakan universiti GMSN iaitu Universiti Pennsylvania (UPENN), Universiti Goethe Frankfurt (Goethe) dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) selama tiga bulan.

Calon yang berjaya dipilih bagi mengikuti program tersebut ialah Dr Nicholas Gani dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam bidang Arkeologi, Dr Izawati Wook dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam bidang Perundangan dan Dr Muhamad Nadzri Mohd Noor dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Politik dan Pengajian Antarabangsa.

Baca juga

UPSI wujudkan JITU, gariskan 7 inisiatif pasukan berjaya

Berkat doa ibu bapa dan pensyarah, sukarelawan ini turut cemerlang akademik

Tiga individu yang berjaya dipilih itu dijangka akan menerbitkan buku daripada tesis Doktor Falsafah (PhD) mereka dengan bimbingan daripada mentor pada penghujung program.

Mereka juga akan membentangkan penyelidikan pada persidangan sulung GMSN akhir tahun ini.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, GMSN telah menerima sokongan penyelidik dari universiti seluruh negara untuk permohonan program itu yang merangkumi pelbagai disiplin.

“Program Fellowship GMSN akan diadakan secara maya untuk mempromosikan penyelidikan ilmiah dan kerjasama dalam Kajian Malaysia.

“Matlamatnya adalah bagi menyediakan peluang untuk memperkuatkan bidang kajian dengan sumbangan penyelidikan daripada penyelidik di seluruh dunia," katanya.

Pengasas Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin yang juga ketua projek berkata, program ini adalah untuk menyokong penyelidik muda dengan bimbingan daripada senior akademik secara global.

“Kami berharap kerjasama ini akan meningkatkan pemahaman tentang Malaysia sekali gus membawa kajian ke peringkat seterusnya,”ujarnya dalam kenyataan tersebut.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Mewakili Universiti Frankfurt yang merupakan rakan universiti GMSN, Profesor Arndt Graf berkata, Kajian Malaysia semakin berkembang dan semakin ramai sarjana seluruh dunia berminat dengan negara ini.

“Pengantarabangsaan dan kerjasama antarabangsa menjadi tema penting bagi Pengajian Tinggi Malaysia," kongsinya.

Dalam pada itu, Dr Andrew Carruthers dari Universiti Pennsylvania berkata, GMSN sedang mengkonseptualisasikan semula kajian Malaysia dan Nusantara berbahasa Melayu dengan kaedah yang penting dan baharu.

“Usaha penting daripada UKM ini memotivasikan pelbagai pemahaman mengenai Kajian Malaysia pada abad ke-21," jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok