GoStrong Basketball Club cungkil bakat muda bola keranjang
GoStrong Basketball Club, sebuah akademi yang melatih bakat muda dalam sukan bola keranjang bakal menganjurkan Pertandingan Bola Keranjang 3 Lawan 3 dan Klinik Bola Keranjang bersempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari minggu depan.
Pengasas GoStrong Basketball Club, Muhamad Izzat Nasruddin berkata, Pertandingan Bola Keranjang 3 Lawan 3 itu akan diadakan pada hari pertama karnival berlangsung iaitu 10 Mei ini.
“Beberapa pasukan yang terdiri pelajar-pelajar sekolah akan bertanding kategori Bola Keranjang 3 Lawan 3.
“Mereka akan bermain dari jam 9 pagi hingga 6 petang dan pertandingan ini dijangka tidak mengambil masa yang lama.
“Pada hari kedua iaitu 11 Mei nanti, GoStrong Basketball Club akan menganjurkan pula Klinik Bola Keranjang untuk pelajar sekolah rendah (sebelah pagi) dan pelajar sekolah menengah (sebelah petang),” ujarnya ketika dihubungi Sinar Bestari.
Menurut Muhamad Izzat, GoStrong Basketball Club akan membawa dua jurulatih pakar dan berpengalaman luas bagi mengisi slot Klinik Bola Keranjang.
“Dua jurulatih itu adalah Najee Najmudin dan Dzyad Ahmad Zaki yang akan berkongsi sejarah dan pengenalan bola keranjang serta pengalaman mereka dalam sukan ini.
“Selain itu, mereka juga akan menceritakan keistimewaan sukan bola keranjang yang harus disertai lebih ramai anak muda Melayu seperti didominasikan oleh kaum Cina sebelum ini,” jelas beliau.
Pada hari ketiga Karnival Pendidikan Sinar Bestari, Muhamad Izzat berkata, pihaknya akan mengadakan aktiviti bebas di gelanggang bola keranjang.
“Pengunjung boleh datang ke tempat kami bagi mempelajari atau mencuba untuk melontar bola menerusi keranjang dari atas.
“Pengunjung juga boleh mengemukakan apa sahaja soalan berkaitan sukan bola keranjang kepada wakil kami sepanjang tiga hari karnival berlangsung,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai bola keranjang, beliau berkata, sudah tiba masanya sukan ini dijadikan sebagai sukan teras atau sukan utama di peringkat sekolah dan peringkat tertinggi yang lain.
“Negara mempunyai ramai pemain yang berbakat besar dalam sukan bola keranjang ini.
“Namun begitu, ada dalam kalangan mereka yang tidak mengetahui platform yang sesuai untuk mengetengahkan bakat.
“Justeru, penglibatan GoStrong Basketball Club dalam karnival kali ini dilihat sebagai langkah permulaan dalam melahirkan lebih ramai pemain berpotensi untuk beraksi di peringkat lebih tinggi,” ujarnya sukan bola keranjang dapat membentuk sahsiah diri yang terpuji dalam kalangan pelajar, berdisiplin, bermotivasi, memiliki keyakinan tinggi dan sebagainya.
Karnival Pendidikan Sinar Bestari bakal diadakan di Dataran Karangkraf, Seksyen 15 di sini selama tiga hari bermula 10 Mei ini.
Selain pertandingan Bola Keranjang 3 Lawan 3, karnival tersebut turut menganjurkan pelbagai pertandingan termasuk crossword puzzles, bercerita, pidato, Sinar Bestari Got Talent, e-sukan, kawad kaki dan lain-lain.