Muhammad Lutfi membanggakan ahli keluarga dengan penganugerahan yang diterimanya dalam Majlis Konvokesyen Perdana Institusi Pendidikan MARA 2024.
Muhammad Lutfi membanggakan ahli keluarga dengan penganugerahan yang diterimanya dalam Majlis Konvokesyen Perdana Institusi Pendidikan MARA 2024.

Graduan IKM Lumut rangkul Anugerah Khas Industri kerana prestasi cemerlang sepanjang Latihan Industri!

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
16 Jun 2024 01:00pm
A
A
A

Sepanjang menjalani Latihan Industri di AICHI Daihatsu Co Ltd, lepasan Institut Kemahiran Mara (IKM) Lumut, Perak, Muhammad Lutfi Mohd Abd Wahab telah menunjukkan prestasi yang cemerlang sepanjang tempoh latihan.

Kerana khidmat dan dedikasinya ketika Latihan Industri, pihak syarikat sebulat suara telah memberi pengiktirafan kepada beliau sekali gus melayakkan dia menerima anugerah khas sempena Majlis Konvokesyen Perdana Institusi Pendidikan MARA 2024 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Muhammad Lutfi yang berasal dari Felda Lepang Nenering, Perak dan merupakan anak peneroka diumum sebagai penerima Anugerah Khas Industri dalam konvokesyen tersebut.

Difahamkan, Anugerah Khas Industri merupakan anugerah oleh pihak industri kepada graduan terpilih sebagai pengiktirafan terhadap kualiti dan prestasi luar biasa yang ditunjukkan.

Memetik perkongsian IKM Lumut di Facebook, kejayaan Muhammad Lutfi yang kini bekerja sebagai Foreman di Continental Car, Glenmarie, Shah Alam, Selangor adalah bukti nyata bahawa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang ditawarkan IKM itu mampu melahirkan graduan berkualiti tinggi.

Muhammad Lutfi membawa pulang RM1,000 menerusi Anugerah Khas Industri.
Muhammad Lutfi membawa pulang RM1,000 menerusi Anugerah Khas Industri.

“IKM Lumut terus komited dalam menyediakan pendidikan berkualiti dan latihan berasaskan kemahiran yang relevan dengan kehendak pasaran kerja.

“Kejayaan anak kesembilan daripada 10 adik-beradik itu adalah bukti bahawa usaha IKM Lumut dalam melahirkan tenaga kerja kompeten dan berdaya saing membuahkan hasil yang membanggakan,” tulis catatan itu.

Terdahulu, Majlis Konvokesyen Perdana Institusi Pendidikan MARA 2024 yang merangkumi Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Kolej Profesional MARA (KPM), Malaysia-Japan International Institute (MJII) dan IKM telah melahirkan 8,447 graduan bagi tahun 2024 sekali gus menyaksikan ramai graduan telah diiktiraf atas pencapaian akademik dan kokurikulum mereka.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok