Salah satu cadangan yang dibangkitkan ialah mengembalikan penggunaan rotan kepada guru sebagai salah satu langkah disiplin. Gambar kecil: Dr Afif
Salah satu cadangan yang dibangkitkan ialah mengembalikan penggunaan rotan kepada guru sebagai salah satu langkah disiplin. Gambar kecil: Dr Afif

Graduan UKM cadang penggunaan rotan bagi tangani buli!

14 Aug 2025 03:36pm

Kes buli yang melibatkan pelajar di asrama mahupun sekolah harian masih menjadi isu berterusan sejak dulu sehingga kini.

Perkara itu secara tidak langsung menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa sehingga ada yang enggan menghantar anak mereka ke asrama gara-gara bimbang keselamatan anak terancam.

Pelbagai pandangan telah dikemukakan oleh masyarakat untuk menangani masalah buli di sekolah.

Salah satu cadangan yang dibangkitkan ialah mengembalikan penggunaan rotan kepada guru sebagai salah satu langkah disiplin.

Graduan Ijazah Doktor Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Afif Mohd Ridzwan berkata, penggunaan rotan oleh guru bukan semata-mata menghukum, tetapi sebagai alat untuk menimbulkan rasa takut kepada pelajar agar tidak melakukan kesalahan termasuk melakukan buli atau mengabaikan tugasan sekolah.

"Kembalikan rotan ke tangan guru, tetapi bukan sekadar untuk merotan tetapi menakutkan atau menggerunkan pelajar yang melakukan salah.

"Ia juga boleh digunakan untuk memastikan pelajar menyiapkan kerja sekolah dengan disiplin," kongsinya seperti dipetik daripada sebuah video di TikTok.

Artikel Berkaitan:

Foto: Canva
Foto: Canva

Selain itu, Dr Afif yang juga alumni Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Klang, Selangor, turut menekankan bahawa pihak sekolah perlu mewujudkan polisi disiplin yang tegas berkaitan buli.

Menurut beliau, polisi tersebut perlu diumumkan secara terbuka kepada seluruh warga sekolah supaya pelajar mengetahui bahawa tindakan buli tidak akan diterima dan akan diambil tindakan segera.

"Jika pelajar sedar bahawa setiap tindakan mereka dipantau dan kesalahan akan dikenakan tindakan, psikologi mereka akan berubah.

"Mereka akan lebih berhati-hati dalam berinteraksi dengan rakan sebaya,” ujarnya yang kini Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain. 

Sementara itu, Dr Afif turut mencadangkan supaya sekolah mewujudkan sistem aduan digital yang mudah diakses termasuk melalui kod QR, untuk membolehkan ibu bapa atau pelajar membuat laporan.

Dengan sistem ini, identiti pelapor dapat diketahui dan tindakan siasatan dapat dijalankan secara bersepadu.

"Apabila laporan dibuat, pihak sekolah boleh menyiasat dengan cepat dan menyelesaikan masalah secara bersama.

"Jangan sesekali menyembunyikan aduan kerana ia akan memburukkan keadaan," ulasnya lagi.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp