Guna TikTok untuk pembelajaran, bukan tujuan peribadi - NUTP
Baru-baru ini beberapa tangkapan layar tular di laman media sosial yang memaparkan guru sedang membuat ‘live’ ketika proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) sedang berlangsung di dalam kelas.
Perkongsian yang dibuat menerusi Twitter oleh @n_ahwal telah mendapat perhatian pengguna laman itu dengan lebih 7,000 ciapan semula dan hampir 11,000 tanda suka.
Kebanyakan daripada pengguna laman itu mendesak agar pihak berwajib mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah yang semakin membimbangkan itu.
Baca juga
Buat ‘live’ semasa mengajar, guru akan disiasat – KPM
Aplikasi TikTok bukan sekadar hiburan, gunakan sebagai alat persediaan pelajar hadapi dunia sebenar
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata kepada Bernama, penggunaan aplikasi TikTok oleh golongan pendidik dinasihatkan dilakukan untuk tujuan pembelajaran dan bukan tujuan peribadi.
Beliau berkata, pihaknya memberi sokongan penuh sekiranya penggunaan media sosial terutamanya TikTok dimanfaatkan bagi tujuan pembelajaran, tetapi tidak jika bertujuan membuat ‘live’ semasa proses PdP di dalam kelas.
"Penggunaan media sosial khususnya secara langsung semasa waktu bertugas rasmi adalah sesuatu yang salah, apatah lagi jika ia lebih bersifat mempopularkan diri sendiri.
“Hal ini amat tidak sihat dan menyalahi peraturan serta patut dihentikan. Demi menjaga imej profesion keguruan, pihak pentadbir sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu bertindak tegas,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Selain itu, Aminuddin juga berkata ramai guru ketika ini terdiri daripada generasi Y dan Z yang membesar dengan media sosial namun mereka perlu patuh kepada garis panduan berkaitan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok
Beliau turut menyarankan golongan pendidik agar menggunakan media sosial bagi memuat naik isi kandungan yang berkaitan dengan pendidikan secara ringkas dan padat untuk pengukuhan murid di luar waktu persekolahan.
Rentetan daripada isu ini, pasukan komunikasi Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin memaklumkan perkara itu akan disiasat kerana didapati telah melanggar etika penggunaan media sosial oleh penjawat awam.