Anwar
Anwar

Guru bermasalah, cuai harus dikecualikan kenaikan pangkat

15 Jul 2024 01:21pm

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, guru bermasalah, yang cuai, langgar disiplin dan prestasi lemah harus dikecualikan daripada kemudahan kenaikan pangkat secara 'time-based'.

Beliau berkata, kerajaan menerima prinsip kenaikan pangkat secara 'time-based', namun menegaskan bagi guru yang cuai dan lemah dari segi disiplin, kemudahan itu akan dibatalkan.

"Kalau disiplin (guru) lemah, kalau dalam setahun tak pergi sekolah banyak kali, saya nak batalkan (time-based). Jadi kita harus teliti, tapi saya percaya 90 peratus tak ada masalah," katanya ketika berucap di majlis sambutan Jubli Emas Penubuhan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Bangi, Selangor.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang.

Anwar berkata, tugas guru itu adalah untuk mendidik manusia sehingga adanya elemen kemanusiaan dalam diri masing-masing, maka seseorang itu mesti mempunyai rasa kasih dan sayang kepada guru.

"Saya sampai sekarang baik di Sekolah Cheruk Tok Kun, Bukit Mertajam Boys School, Malay College Kuala Kangsar dan Universiti Malaya (UM), saya tak pernah lupa dan penghormatan (terhadap) sumbangan guru kerana tanpa mereka selain ibu bapa, tidak mungkin (saya) bertapak, jika tidak disemai semangat itu," katanya.

Perdana Menteri berkata, sehubungan itu kebajikan para guru harus dipertahankan dan pada masa yang sama harus melakukan perubahan.

"Malaysia punyai keupayaan dan kapasiti untuk angkat martabat bangsa dan negara, contoh yang baik ekonomi, politik, sosial dan pendidikan, kerana kekuatan asas ada. Kalau nak meningkat tidak boleh dengan budaya lembab macam sekarang, mesti kena tegas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anwar seterusnya mengingatkan bahawa komitmen beliau dalam soal bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi serta dalam dasar pendidikan negara janganlah dipertikaikan, namun baginya tiada halangan untuk kembangkan bahasa Cina, Tamil, Arab atau bahasa lain dan ruang sebaiknya akan diberikan.

Beliau berkata, untuk melonjakkan ekonomi negara, penekanan khusus perlu diberikan kepada penguasaan bahasa Inggeris dalam negara menuju ke arah transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI).

"Arahan saya pada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), tidak mahu lewat dan perlu ada kerangka segera tingkat penguasaan bahasa Inggeris supaya negara dapat bersaing. (Namun) Bahasa Melayu jangan kita remehkan, penguasaan dan mutu harus lebih baik dari sekarang kerana keupayaan anak perlu ada," katanya.

Merujuk kepada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), beliau berkata, skim itu adalah antara terbaik pernah diumumkan kerajaan dan beliau harap ia dapat meningkatkan prestasi perkhidmatan penjawat awam serta menghentikan amalan tidak baik.

Anwar berkata, meskipun rancangan itu mendapat kritikan pelbagai pihak namun ia tidak mengganggu komitmen kerajaan untuk melaksanakannya, memandangkan penjawat awam sudah 12 tahun tidak merasai kenaikan gaji.

Beliau berkata, dua cadangan NUTP akan dibawa untuk perbincangan melibatkan guru penolong di sekolah rendah gred DG48 dibenarkan memegang jawatan sebagai penolong kanan dan pengoperasian di sekolah rendah termasuk guru besar yang sudah naik ke gred DG52 secara 'time-based' dibenar terus memegang jawatan itu sehingga ke gred DG54. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp