alumni1
alumni1

Guru dinobat sebagai pemenang anugerah unggul UMT

Nor Azma  Muhamat Laila
05 Apr 2022 03:35pm
A
A
A

KUALA NERUS – Guru Sekolah Menengah Agama (SMA) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Saripah Embong, 59, dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Ikon Alumni bagi Kategori Unggul (Utama) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 2021.

Beliau yang merupakan alumni UMT bagi program Sarjana Muda Sains Makanan (Perkhidmatan Makanan dan Pemakanan) pada 2005 menerima trofi, sijil dan sejumlah wang tunai yang disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah UMT, Mohd Khairul Hakimi Mohd Nawi.

Guru yang bakal menamatkan perkhidmatan sebagai penjawat awam pada tahun depan itu tidak menyangka namanya diumumkan sebagai Ikon Unggul Utama iaitu pengiktirafan tertinggi dalam majlis yang penuh gemilang tersebut.

“Terima kasih kepada UMT atas pengiktirafan ini. Saya amat teruja dan tidak menyangka dipilih sebagai penerima anugerah.

“Walaupun saya seorang guru, tetapi saya suka belajar untuk kepuasan diri. Pensyarah-pensyarah di UMT juga sangat membantu dan menyokong saya untuk meneruskan pengajian meskipun sudah berusia 40 tahun," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan UMT, baru-baru ini.

Majlis anugerah itu julung kali diadakan anjuran Pusat Alumni UMT bagi mengangkat graduan yang telah menabur bakti dan menghargai sumbangan alumni UMT dalam bidang kepakaran masing-masing kepada universiti dan negara.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, universiti berkenaan berada pada landasan yang tepat seperti mana Indeks Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan dalam Pelan Strategik UMT 2018-2022.

”Melalui Pelan Strategik UMT 2018-2022 (PSUMT 2018-2022) telah digariskan objektif strategiknya adalah untuk Pemerkasaan Jaringan Bersama Alumni yang melibatkan beberapa kategori alumni seperti Bakal Alumni, Alumni Muda dan Alumni Matang.

“Alhamdulillah, Pusat Alumni berjaya mencapai KPI yang ditetapkan setiap tahun. Saya mengucapkan syabas kepada pengarahnya, Profesor Datuk Dr Shaharuddin Abdul Hamid dan kakitangan serta Timbalan Naib Canselor HEPA, Profesor Madya Dr Hafiz Zakariya dalam memastikan KPI tersebut tercapai," ujarnya.

Majlis Anugerah Ikon Alumni UMT 2021 (MAIKA 21) itu menawarkan beberapa kategori pemenang iaitu Ikon Alumni Unggul (Utama), Ikon Alumni Akademik, Ikon Alumni Pengurusan Awam, Ikon Alumni Usahawan dan Ikon Alumni Industri.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok