Guru ini bukan sahaja bijak tetapi rupanya bekas finalis Dewi Remaja, ramai jadikan inspirasi...
Guru ini bukan sahaja bijak tetapi rupanya bekas finalis Dewi Remaja, ramai jadikan inspirasi...

Guru ini bukan sahaja bijak tetapi rupanya bekas finalis Dewi Remaja, ramai jadikan inspirasi...

webadmin
06 Nov 2020 07:38am
A
A
A

Guru ini bukan sahaja bijak tetapi rupanya bekas finalis Dewi Remaja, ramai jadikan inspirasi...

Siapa sangka Guru Akademik Tingkatan Enam, dan juga Ketua Panitia Bahasa Melayu STPM di SMK Merbau, Miri, Sarawak ini rupanya dulu finalis Dewi Remaja tahun 98/99.

Mempunyai rupa paras yang cantik dan sering berpenampilan menarik, tetapi langsung tidak kekok memegang cangkul dan menggunakan mesin pemotong rumput. Beliau yang suka  berkebun dan kerap berkongsi minatnya di media sosial, tidak pernah berasa malu berbaju lusuh, bertopi besar, dan berkasut getah warna kuning paras betis.

Kata guru asal Uma Juman, Apau Koyan, Belaga, Sarawak itu,  inilah kehidupan asalnya sebelum ini, dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan, membuatkan dirinya sudah terbiasa kerja susah.

Bercerita tentang sosok tubuh bernama Cikgu Nancy Thomas itu, terlalu banyak yang ingin dikongsi.

Selain bergelar pendidik, beliau turut mempunyai obsesi sihat yang boleh dicontohi. Menjaga pemakanan, bersenam secara konsisten, terlibat dalam dunia gimnasium, dan juga kerap menyertai acara larian membuatkan wanita berusia 40 an itu kekal cantik, cergas dan sihat.

“Pada masa lapang saya suka berkebun. Pelbagai jenis bunga dan sayur-sayuran yang saya tanam. Malah, rumah saya ini juga pernah memenangi tempat pertama, tiga kali berturut-turut dalam Pertandingan Laman Cantik anjuran Majlis Bandar Raya Miri.

“Saya juga suka mendaki dan berlari. Biasanya saya akan melakukan dua aktiviti itu berdua bersama suami. Setakat ini kami dah menyertai lapan Half Marathon sejak tahun 2018,” katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu turut berkongsi tip penjagaan kesihatan dan pemakanan sihat di media sosial. Ia sedikit sebanyak memberikan inspirasi kepada golongan ibu yang ingin menurunkan berat badan.

“Saya bukan coach bertauliah, namun kerana ingin berkongsi ilmu kesihatan dengan ibu-ibu di luar sana, saya bekerjasama dengan bekas pelajar saya, Coach Daryl Aaron Bawood.

“Program Coaching atas talian yang kami jalankan ini membantu para ibu yang mempunyai masalah berat badan. Selain bimbingan, peserta turut diberikan jadual diet harian dan senaman yang boleh mereka ikuti,” ujarnya.

Menariknya, beliau yang sudah 17 tahun bergelar pendidik itu sebenarnya pernah menghiasi muka depan majalah REMAJA pada tahun 1997.

Penyertaanya dalam Pencarian Dewi Remaja (PDR), menyaksikan beliau berentap dengan Juliana Banos, Rita Rudaini, Toh May Yee dan ramai lagi, bagi meraih gelaran Dewi Remaja 98/99.

“Dulu ramai yang tak tahu saya adalah bekas Finalis Dewi REMAJA. Hanya keluarga dan sahabat terdekat sahaja yang tahu. Namun selepas artikel pendakian saya di Annapurna Base Camp, Nepal Disember tular, barulah ia diketahui umum, terutamanya pelajar saya di sekolah,” jelas Nancy.

Biarpun pernah menyertai PDR dan meraih gelaran ‘Keligit Orang Ulu 2007’ dalam Pertandingan Kumang Gawai, Nancy mula sedar, jiwanya bukan di situ.

“Saya memilih untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajian sehingga berjaya mendapat Anugerah Dekan sebanyak empat kali iaitu masa semester 3 hingga 6 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” katanya.

Pada tahun 2003, beliau ditawarkan mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di Maktab Perguruan Batu Rakit Kuala Terengganu. Nancy yang pernah mengajar di MRSM Kuala Klawang dan MRSM Kuching itu tidak pernah menyesal meninggalkan dunia glamor. Sebaliknya, beliau bersyukur kerana bidang pendidikan memberikan seribu satu kepuasan buatnya.

“Dunia pendidikan sudah sebati dengan saya. Berhadapan dengan ramai pelajar, pelbagai karenah dan ragam, semua itu membuatkan hari-hari saya sangat bahagia,” katanya.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok