HomeBuletinGuru interim berjaya temu duga SPP bakal dapat lantikan secara tetap

Guru interim berjaya temu duga SPP bakal dapat lantikan secara tetap

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan guru interim yang berkhidmat di sekolah-sekolah kerajaan akan diberikan keutamaan bagi mendapat lantikan secara tetap.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, inisiatif itu dibuat bagi menampung kekosongan guru di sekolah bawah KPM.

Baca juga

(VIDEO) 31 tahun berkhidmat sebagai guru di Sabah, detik perpisahan dikongsi murid undang kesedihan warganet

Rezeki terpilih jadi cikgu, Azhari bersemangat nak mula mengajar

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, baru-baru ini.

“Dalam usaha untuk memastikan guru interim boleh dilantik sebagai guru tetap, KPM menawarkan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) dikendalikan oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

“KPM akan mengemukakan senarai nama guru interim yang berjaya menamatkan PDPP serta memenuhi syarat skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG41 kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku Pihak Berkuasa Melantik untuk urusan temu duga,” katanya.

Jelasnya, proses pengambilan graduan pendidikan lepasan Universiti Awam juga dilaksanakan selari dengan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).

“Berdasarkan pendekatan ini, graduan mesti mendaftar melalui portal mySPP.

“Pihak SPP kemudiannya akan memanggil calon yang melepasi tapisan awal untuk ditemu duga.

“Hanya graduan yang berjaya di dalam temu duga SPP sahaja yang akan dilantik,” katanya.

Menurut Radzi, guru lantikan tetap mesti mempunyai ikhtisas iaitu Ijazah Sarjana Muda dalam bidang pendidikan atau Ijazah Sarjana Muda dengan Diploma Pendidikan selaras dengan syarat Skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Jika graduan pendidikan tidak mengisi kekosongan tersebut, maka, calon yang tidak mempunyai ikhtisas boleh dilantik sebagai guru kontrak setelah mendapat kelonggaran syarat daripada JPA.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Terdahulu, seramai 8,120 guru pengambilan one-off yang berjaya temu duga fasa dua dan tiga telah melapor diri pada 1 Mac lepas.

Pengambilan khas guru baharu itu melibatkan keseluruhan 18,702 orang adalah bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru yang telah berlarutan sekian lama.