Guru pendidikan khas kongsi tip tarik minat murid berkeperluan khas belajar secara online
Guru pendidikan khas kongsi tip tarik minat murid berkeperluan khas belajar secara online

Guru pendidikan khas kongsi tip tarik minat murid berkeperluan khas belajar secara online

webadmin
30 Dec 2020 07:44am
A
A
A

Kuala Lumpur - Proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) buat murid berkeperluan khas perlu berkonsepkan ‘fun-learning’ walaupun dijalankan secara dalam talian agar mereka tercicir sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Seorang guru pendidikan khas, Ramlan Salim, berkata pendekatan itu perlu memandangkan murid berkeperluan khas cenderung untuk cepat jemu, bosan dan penat dengan sesuatu perkara yang dilakukan.

"Paling lama bertahan mungkin dalam 15 minit. Jadi, kita yang perlu ikut ‘mood’ mereka,” katanya kepada Bernama.

Oleh itu, katanya guru perlu merancang kaedah PdP yang lebih kreatif seperti perbanyakkan latihan dalam bentuk video, muzik mahupun audio visual sebagai terapi fizikal selain pelbagai latihan bertulis yang menarik.

Ramlan, yang mengajar di sebuah sekolah rendah pendidikan khas di Hulu Langat, berkata, murid berkeperluan khas itu terdiri daripada banyak masalah pembelajaran seperti sindrom down, autistik, lembam, ‘multiple disabilities’, serebral palsi dan lambat perkembangan.

Beliau berkata secara asasnya, murid sudah biasa dengan latihan bertulis atau terapi fizikal di sekolah.

"Tetapi, sekarang persekitaran mereka adalah di rumah dan yang membantu mengajar adalah ibu bapa. Keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan fokus murid berkenaan akan berkurangan,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Seri Putra, Radin Hashimah Radin Hassan, memanfaatkan slot program TV Pendidikan yang disediakan Kementerian Pendidikan (KPM).

"Ia boleh diikuti mereka yang boleh menerima arahan dan memang suka belajar, terutama bagi murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Inklusif dan lembam, dengan arahan mudah daripada guru," katanya.

Timbalan Presiden Persatuan Bahasa Isyarat Malaysia dan Pengajian Pekak, Amir Hamidi Abdul Manan, mencadangkan kandungan program TV Pendidikan ditambah baik dengan menyediakan sisipan khidmat jurubahasa isyarat bertauliah di bahagian bawah sudut kanan skrin televisyen seperti yang terdapat dalam siaran berita Nasional 8, Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Beliau berkata kemudahan itu akan membolehkan golongan murid berkeperluan khas khususnya orang kurang upaya (OKU) pendengaran tidak tercicir ketika menerima proses pembelajaran dalam tempoh PKP ini.

"Sukatan pelajaran yang disediakan sudah mencukupi dan memadai, namun mungkin perluasan akses itu perlu dilakukan terutamanya untuk dinikmati murid pekak. Jadi, adalah lebih baik sekiranya disediakan penterjemahan bagi setiap kandungan pelajaran dengan menggunakan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM),” katanya.

Artikel berkaitan

Cikgu Halizah guna dadu dan kos QR untuk tarik MBK belajar topik Pembundaran

Bangga lihat kegigihan guru pendidikan khas mendidik dan membimbing murid istimewa

'Ramai tak tahu sumbangan guru pemulihan khas, pada hal peranan mereka besar'

Tidak mampu bawa murid ke kolam renang awam, cikgu lakukan ini untuk gembirakan mereka

Pelajar Sekolah Pendidikan Khas Integrasi SMK Panji, rasai pengalaman jadi chef

 

 


 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok