Faridah (tengah) ketika mengajar bahasa Melayu kepada salah seorang pelajar di Jepun.
Faridah (tengah) ketika mengajar bahasa Melayu kepada salah seorang pelajar di Jepun.

Guru wanita mengajar bahasa Melayu di Jepun lebih tiga dekad, hebat anak Malaysia!

11 May 2024 11:34pm
A
A
A

Hampir separuh perjalanan hidup guru wanita ini dihabiskan di Jepun semata-mata demi mengajar bahasa Melayu sekali gus memartabat serta menyuburkan lagi bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat di negara matahari terbit itu.

Biarpun sudah menginjak 65 tahun, Faridah Mohamed tidak pernah lelah dengan perjuangan yang bermula pada tahun 1989 untuk mengajar bahasa Melayu di peringkat sekolah dan universiti.

Sejak 2011, bekas guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sanzac Kota Kinabalu, Sabah itu menggalas tanggungjawab sebagai pensyarah pelawat khas di Pusat Pengajian Bahasa dan Budaya di Tokyo University of Foreign Studies.

Beliau juga turut menjadi penterjemah skrip drama, radio, dokumentari, penerbitan buku dan kamus.

Berpeluang menemu bual Faridah melalui telefon baru-baru ini, anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu berkata, semuanya bermula apabila beliau terpilih menjadi kumpulan pertama guru sekolah kerajaan yang dihantar ke Jepun menerusi program Dasar Pandang ke Timur, bagi mengikuti kursus bahasa Jepun selama setahun.

“Selepas tamat kursus, saya sambung ke peringkat ijazah selama empat tahun di Universiti Mei Kai. Semasa awal di sana, saya memang tak menang tangan menerima tawaran kerja sambilan mengajar bahasa Melayu, terjemahan, semakan mahupun alih suara untuk sekolah atau syarikat persendirian.

Faridah
Faridah

“Saya tak pernah menolak tawaran kerana seronok mengajar mereka bahasa kebangsaan dengan tatabahasa yang betul. Upahnya lumayan kerana tidak ada orang Melayu yang mengambil peluang tersebut ketika itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Keterujaan untuk terus menabur bakti di Jepun demi mengangkat bahasa kebangsaan di mata dunia, membuatkan Faridah nekad tidak pulang ke tanah air bersama rakan kumpulan guru tajaan lain meskipun diarah berbuat demikian selepas tamat pengajian.

Keputusan itu mengakibatkan Faridah dikehendaki membayar penalti sebagai ganti rugi kepada kerajaan, namun wang hasil kerja sambilan sebagai guru serta penterjemah yang dikumpul sepanjang pengajian banyak membantunya melunaskan denda tersebut.

“Saya mempunyai kemahiran mengajar dan kepakaran dalam bahasa, selain nama saya turut dikenali ramai dan sentiasa menjadi rujukan di sini.

“Keputusan untuk tidak pulang ke Malaysia menyebabkan saya seorang sahaja daripada kumpulan guru tajaan kerajaan yang terus tinggal di Jepun,” katanya yang turut bertuah dapat menyambung pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang perbandingan budaya di International Christian University setelah menerima biasiswa Yayasan Koide.

No Image Caption

Walaupun terpaksa mengambil keputusan yang berat, keengganan ibu kepada dua anak ini untuk pulang ke Malaysia ketika itu membuatkan beliau dapat melihat potensi besar peluang pekerjaan sebagai tenaga pengajar bahasa Melayu di luar negara yang sewajarnya direbut rakyat negara ini.

Justeru, Faridah mengharapkan pihak kerajaan atau universiti tempatan menghantar lebih ramai lagi orang Malaysia khususnya guru yang berkaliber dan berpengalaman untuk menyebarluaskan lagi bahasa Melayu di Jepun.

“Penerimaan warga Jepun terhadap bahasa Melayu juga lebih baik dan semakin mendapat tempat berbanding 20 atau 30 tahun dahulu. Memang ada bangsa lain boleh mengajar bahasa Melayu tetapi tatabahasanya tunggang-langgang, kosa kata kurang tepat serta mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa asing.

No Image Caption

“Saya bimbang jika ada universiti atau sekolah di Jepun menutup kursus bahasa Melayu kerana kekurangan pengajar, satu kerugian buat Malaysia sekiranya kita tidak merebut peluang ini,” katanya yang baharu menyambung kontrak sebagai tenaga pengajar di Pusat Pengajian Bahasa dan Budaya di Tokyo University of Foreign Studies untuk tempoh empat tahun lagi.

Ditanya adakah beliau tidak berhasrat untuk kembali ke tanah air, Faridah berkata, selagi tenaga dan kepakarannya diperlukan di Jepun, beliau akan terus mencurahkan bakti sebagai pengajar bahasa Melayu sehingga ada pengganti yang sesuai untuk menggalas tanggungjawab tersebut. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok