Walaupun masih muda, perjalanan Adam jauh berbeza daripada kebanyakan remaja lain. Dia merupakan seorang hafiz 30 juzuk al-Quran dan lepasan Maahad Tahfiz Negeri Pahang.
Walaupun masih muda, perjalanan Adam jauh berbeza daripada kebanyakan remaja lain. Dia merupakan seorang hafiz 30 juzuk al-Quran dan lepasan Maahad Tahfiz Negeri Pahang.

Hafiz 30 juzuk kejar impian jadi juruterbang, kisah Adam cetus inspirasi netizen

02 Dec 2025 07:24pm

Keazaman luar biasa seorang anak muda menarik perhatian ramai apabila kisahnya dikongsikan oleh Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Muhammad Adam, pelajar cemerlang yang meraih keputusan 10A+ 1A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hadir bersama ibunya, Adderina, ke pejabat beliau bagi menyerahkan surat rayuan untuk mengikuti Program Latihan Juruterbang Malaysia Aviation Group (MAG).

Walaupun masih muda, perjalanan Adam jauh berbeza daripada kebanyakan remaja lain.

Dia merupakan seorang hafiz 30 juzuk al-Quran dan lepasan Maahad Tahfiz Negeri Pahang.

Disiplin yang sudah sebati dalam dirinya membentuk keperibadian yang tenang, sopan dan penuh adab.

Dalam pertemuan itu, Asyraf sempat 'menebuk' beberapa ayat al-Quran daripada Surah Al-Baqarah bagi menguji hafazannya.

Adam menjawab dengan lancar dan tenang, seakan-akan membenarkan tanggapan semua orang bahawa anak muda ini bukan calang-calang.

Apa yang membuatkan kisah ini lebih menyentuh hati ialah keberanian Adam menolak beberapa tawaran tajaan lain termasuk daripada Petronas.

Alasannya mudah, dia mahu mengejar minat sebenar dalam dunia penerbangan.

Artikel Berkaitan:

Bagi Adam, menjadi juruterbang adalah impian yang disimpan sejak kecil dan dia sanggup berusaha lebih jauh demi mencapainya.

Perjalanan Adam ke pejabat MARA bersama ibunya menggambarkan betapa kukuhnya sokongan keluarga dalam membina masa depan seorang anak.

Adderina sendiri tampil mengiringi, menunjukkan harapan dan doa seorang ibu agar impian anaknya tidak terhenti di tengah jalan.

Melihat kesungguhan itu, Asyraf berjanji untuk membawa rayuan tersebut ke Jawatankuasa Sektor Pendidikan MARA bagi pertimbangan sewajarnya.

Kisah Adam tidak berhenti pada pertemuan itu sahaja. Dalam masa singkat, ribuan netizen membanjiri ruangan komen dengan sokongan, semangat dan doa. Ada yang terharu melihat anak muda seimbang antara kejayaan akademik dan keteguhan memelihara hafazan al-Quran.

No Image Caption

Ramai juga yang berharap agar peluang ini dibuka seluas-luasnya kerana negara memerlukan lebih ramai profesional yang berintegriti dan berakhlak.

Antara sentimen yang mewakili suara warganet termasuklah pujian terhadap keteguhan Adam dalam mengekalkan hafazan, sokongan kepada ibu bapa yang mendidik dengan baik serta doa agar MARA membantu merealisasikan impiannya.

Ada yang menulis bahawa mereka bangga melihat generasi baharu yang menjaga al-Quran tetapi tetap bercita-cita tinggi dalam bidang moden.

Tidak kurang yang tersentuh apabila mengetahui Adam menolak tawaran besar demi minat murninya sebagai juruterbang.

Dalam dunia hari ini, kisah seperti ini menjadi peringatan bahawa kecemerlangan bukan hanya diukur melalui keputusan peperiksaan tetapi juga kekuatan jiwa, prinsip dan keberanian membuat pilihan sendiri.

Adam membawa harapan ramai bahawa generasi muda mampu menjadi huffaz profesional, intelektual yang bukan sahaja memegang ilmu dunia tetapi juga memelihara nilai-nilai ukhrawi.

Asyraf menutup perkongsiannya dengan doa agar urusan Adam dipermudahkan dan menjadi inspirasi kepada semua anak muda yang sedang mengejar impian.

"Sentiasa berdoa, berusaha dan bertawakkal," tulisnya, sebagai pesanan yang merentasi ribuan hati yang membaca kisah ini.

Kisah Adam mungkin baru bermula tetapi langkah pertamanya sudah pun menyentuh banyak jiwa.

Dalam usaha mengejar langit, siapa tahu suatu hari nanti, hafiz muda ini bakal menerbangkan pesawat yang membuka lebih banyak pintu kejayaan untuk dirinya dan negara.

Ringkasan AI

  • Muhammad Adam, pelajar cemerlang dengan 10A+ 1A dalam SPM, menarik perhatian ramai termasuk Pengerusi MARA untuk mengikuti Program Latihan Juruterbang MAG
  • Adam adalah hafiz 30 juzuk al-Quran dan lulusan Maahad Tahfiz Negeri Pahang, yang menunjukkan disiplin dan keperibadian sopan
  • Menolak tawaran tajaan lain termasuk daripada Petronas kerana minat sebenar dalam dunia penerbangan, menegaskan impian menjadi juruterbang
  • Kesungguhan dan sokongan keluarga, terutama daripada ibunya, Adderina, menunjukkan pentingnya sokongan keluargawi dalam mengejar impian
  • Peluang dan sokongan dari netizen menunjukkan harapan negara terhadap generasi muda yang menggabungkan kejayaan akademik dengan nilai-nilai ukhrawi
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp