Pelajar perlu merancang lebih awal dalam meneruskan pengajian di institusi pilihan yang menawarkan pelbagai program akademik mahupun kemahiran.
Pelajar perlu merancang lebih awal dalam meneruskan pengajian di institusi pilihan yang menawarkan pelbagai program akademik mahupun kemahiran.

Hala tuju selepas SPM!

Lepasan SPM 2023 disaran rancang pendidikan ikut minat

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
27 May 2024 10:05am
A
A
A

Pendidikan merupakan jalan pintas buat seseorang keluar dari kelompok kemiskinan.

Berikutan itu amat penting bagi merancang hala tuju pendidikan terutama buat mereka yang baru sahaja menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Itu antara pesanan yang dititipkan oleh Guru Bimbingan dan Kaunselor, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar di Selangor, Cikgu Abdul Muiez Mohammad Ruslee kepada Sinar Bestari baru-baru ini.

Namun, beliau berkata, perancangan yang dibuat selepas keputusan SPM 2023 berada dalam genggaman tangan sebenarnya sudah terlambat kerana ia sepatutnya dilakukan lebih awal.

“Apabila berbicara soal perancangan pendidikan ini sepatutnya dilakukan lebih awal apatah lagi permohonan UPUOnline dibuka sebelum pelajar tamat SPM.

“Ini kerana, selepas keputusan SPM berada di tangan masing-masing, ia telah memasuki fasa kedua di mana tinggal untuk mengemas kini sahaja,” ujarnya.

Jelas Cikgu Abdul Muiez, sekiranya pelajar merancang lebih awal tentang hala tuju pendidikan masing-masing, mereka sudah boleh merencanakan persiapan dari sudut pembelajaran agar dapat mengecapi cita-cita yang diimpikan.

Sebagai contoh, mereka yang memasang niat ingin menjadi guru dan menyasarkan untuk menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) perlu tahu bahawa syarat kemasukan menetapkan sekurang-kurangnya 5A dalam SPM.

Artikel Berkaitan:

Sekiranya perancangan ini dibuat lebih awal, pelajar sudah boleh bersedia dengan mengulang kaji pelajaran bagi mendapatkan keputusan cemerlang agar cita-cita berkenaan dapat dicapai.

Cikgu Abdul Muiez
Cikgu Abdul Muiez

Belajar tidak jamin pekerjaan?

Ditanya mengenai sesetengah pelajar yang menganggap menyambung pelajaran tidak menjamin pekerjaan, Cikgu Abdul Muiez berkata, tohmahan itu perlu ditolak sekeras-kerasnya.

Tegasnya, ilmu itu bukan sekadar untuk bekerja tetapi kelulusan yang membantu mereka mendapatkan pekerjaan.

“Contohnya, setiap tahun negara mempunyai kelulusan graduan sekurang-kurangnya dalam 1,000 orang bagi satu kursus dan mustahil untuk menawarkan pekerjaan seramai itu.

“Tetapi mereka yang berkelulusan ini boleh memohon mana-mana bidang atau kursus lain kerana mempunyai kelayakan dan sijil yang diiktiraf.

“Disebabkan itu, apabila kita belajar secara formal ilmu yang dipelajari adalah lebih baik berbanding belajar sendiri atau menuntut melalui aplikasi seperti YouTube,” jelasnya lagi.

Ubah skeptikal

Bercerita lanjut mengenai institut pendidikan pada hari ini, Cikgu Abdul Muiez memberitahu, setiap daripadanya menawarkan kursus yang mempunyai kelebihan masing-masing.

Oleh itu, tiada istilah kursus atau mana-mana pusat pengajian yang lebih baik kerana ia bergantung kepada minat dan cita-cita setiap pelajar sendiri.

“Kalau tengok dari sudut masa kita boleh lihat matrikulasi, asasi dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) adalah lebih baik kerana tempoh pengajiannya selama setahun ke setahun setengah sahaja.

“Tetapi adakah diploma tidak bagus? Tidak juga kerana mungkin kursus yang pelajar minat hanya ditawarkan dalam diploma.

“Oleh itu, saya selalu tegaskan kepada pelajar yang bertanya soalan ini, ia bergantung kepada apa yang dicari dan diminati,” katanya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Cikgu Abdul Muiez sempat menitip pesan kepada calon-calon yang menerima keputusan SPM 2023 pada hari ini.

Kata beliau, dalam ramai calon itu pasti ada yang keputusannya tidak cemerlang tetapi diingatkan untuk memberi peluang kepada diri sendiri agar cuba belajar lagi.

“Saya selalu berpesan kepada pelajar yang tidak cemerlang keputusannya untuk beri peluang kepada diri sendiri belajar dan teruskan usaha masing-masing.

“Sekiranya tidak boleh meneruskan dalam bidang akademik, cubalah bidang kemahiran yang mereka boleh buat.

“Ia kerana pendidikan hari ini sudah mempunyai skop dan cabang luas yang boleh mereka terokai,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok