
Global Sumud Flotilla: Keberanian sukarelawan Malaysia membawa misi keadilan
Sana sini hangat memperkatakan tentang penglibatan sukarelawan Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang menghantar bantuan ke Gaza.
Nama-nama seperti Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin, Rusydi Ramli, Farah Lee, Danish Nazram, Heliza Helmi, Ardell Aryana, Hazwani Helmi, Iylia Balqis, Ahmad Musa Al-Nuwayri dan Sul Aidil bukan lagi asing apabila mereka tampil berani menyertai barisan antarabangsa bagi menyalurkan bantuan ke wilayah bergolak itu.
Keberanian mereka nyata mengundang rasa kagum masyarakat kerana tidak semua mampu berdiri di barisan hadapan perjuangan tersebut.
Ada yang sanggup mempertaruhkan masa, tenaga dan keselamatan demi misi kemanusiaan iaitu sebuah perjuangan di jalan ALLAH yang tidak ternilai.
Dalam konteks ini, tidak semua orang mengetahui maksud mendalam di sebalik gelaran (sukarelawan) berkenaan.
Sehubungan itu, Sinar Bestari kongsikan definisinya untuk pengetahuan bersama.
Sukarelawan bermaksud seseorang yang mempunyai minat mendalam terhadap aktiviti yang bertujuan membantu orang lain dan terlibat secara langsung dalam kegiatan kesukarelawanan.
Sukarelawan tidak mengharapkan ganjaran tetapi melakukannya dengan setulus hati untuk memenuhi suatu hasrat yang hanya mereka sahaja memahaminya dan untuk kepuasan diri.
Bagi sukarelawan, beberapa ciri atau sikap harus tertanam dalam diri bagi memastikan kerja-kerja kesukarelawanan mencapai maksudnya untuk memperkasa komuniti.
Antaranya ialah kecaknaan dan empati, bersedia mengorbankan kepentingan diri untuk kemaslahatan umum, dedikasi serta iltizam.
Apa pula maksud kerja kesukarelawan? Kerja atau khidmat kesukarelawanan ialah aktiviti yang dilaksanakan secara ikhlas, dengan hati tulus, tanpa unsur paksaan daripada mana-mana pihak, tidak mengharapkan apa-apa imbuhan atau pulangan material serta memberi manfaat kepada kumpulan sasaran.
Kesukarelawanan boleh dilihat sebagai suatu konsep perkhidmatan dan perkongsian, proses pendidikan atau pengalaman pembelajaran dan penglibatan aktif warga dalam isu dan hal-ehwal masyarakat.
Sementara itu, penglibatan sukarelawan Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla memberikan mesej yang jelas bahawa kesukarelawanan bukan sekadar perkataan, tetapi sebuah tindakan nyata yang memerlukan keberanian, keikhlasan dan jiwa kental.
Semoga kisah mereka menjadi inspirasi kepada masyarakat khususnya anak muda, untuk melihat kesukarelawanan sebagai wadah menyumbang kepada agama, bangsa dan kemanusiaan sejagat.
Ringkasan AI
- Sukarelawan Malaysia terlibat dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang menghantar bantuan ke Gaza
- Keberanian mereka dalam menyertai misi ini mengundang rasa kagum masyarakat
- Pengertian sukarelawan ialah individu yang terlibat secara langsung dalam aktiviti membantu orang lain tanpa mengharapkan ganjaran
- Ciri-ciri penting bagi seorang sukarelawan termasuklah kecaknaan, empati, dedikasi, dan iltizam
- Kesukarelawanan dianggap sebagai perkhidmatan dan proses pembelajaran yang memperkasa komuniti