Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF

HARI TVET: Kementerian dan industri perlu berganding bahu – Mohamed Khaled

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
02 Jun 2023 02:54pm

Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara diisytiharkan pada 2 Jun setiap tahun oleh bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ia diumumkan bagi meneruskan pemerkasaan bidang kemahiran sebagai salah satu daripada 14 pemacu perubahan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Dengan bertemakan Memperkasakan Belia untuk Kerjaya Berpendapatan Tinggi, Hari TVET 2023 memberi penekanan dalam keperluan sokongan dan peranan pihak industri untuk berganding bahu dengan kementerian sebagai usaha menambah baik hala tuju TVET negara.

Memetik ucapan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, usaha ini adalah untuk menjayakan satu daripada keutamaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan mengembangkan dan memperkasakan program TVET.

“Ia meliputi pelbagai program ‘skilling’, ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ bukan sahaja kepada lepasan sekolah, malah kepada semua rakyat Malaysia yang berminat melalui rangkaian universiti awam di bawah Malaysian Technical Universities Network (MTUN), Politeknik dan Kolej Komuniti serata negara.

“Justeru itu, sinergi yang terhasil melalui kolaborasi kementerian dan pihak industri akan memberi nilai tambah dan melonjakkan lagi kualiti sektor pendidikan tinggi yang mampu memberi manfaat secara menyeluruh serta menguntungkan masyarakat dan negara,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari TVET 2023 anjuran Yayasan Sime Darby (YSB) di Sime Darby Convention Centre, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mohamed Khaled menyatakan, kolaborasi antara dua pihak berkepentingan ini mampu menangani tiga isu utama melibatkan TVET seperti keperluan untuk mempunyai kandungan dan pengisian program yang selari dengan perkembangan industri dan pasaran kerja; kurangnya minat anak muda untuk mengambil program-program TVET dan fenomena underemployment atau bayaran serta kualiti kerja yang tidak setimpal dengan kelayakan.

Justeru, penglibatan industri akan memberi nilai tambah yang penting sekali gus berupaya melonjak nilai graduan TVET dan melayakkan mereka untuk menerima gaji yang lebih premium serta berpatutan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp