Lenny bangga menunjukkan sijil anugerah yang diterimanya pada Majlis Apresiasi Pelajar 2023/2024 di Dewan Merak Kayangan Kompleks Penjara Kota Kinabalu.
Lenny bangga menunjukkan sijil anugerah yang diterimanya pada Majlis Apresiasi Pelajar 2023/2024 di Dewan Merak Kayangan Kompleks Penjara Kota Kinabalu.

Henry Gurney bukan tempat menghukum tetapi bantu cemerlang dalam pendidikan - Bekas pelajar

20 Aug 2024 08:00am

Tidak pernah menganggap Sekolah Henry Gurney sebagai tempat menjalani hukuman, sebaliknya ia adalah 'persinggahan' untuk gadis yang tersalah langkah memperbetulkan diri mereka sehingga mencapai kejayaan.

Itu pandangan Lenny (bukan nama sebenar), 21, yang dinobatkan sebagai pelajar cemerlang selepas mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang terbaik di sekolah tersebut.

Lenny yang terjebak dengan najis dadah sebelum ini mengakui meninggalkan alam persekolahan sejak di Tingkatan Tiga kerana terikut dengan rakan sebaya yang tidak bersekolah.

Menurutnya, dia dijatuhkan hukuman dan dimasukkan ke Sekolah Henry Gurney ketika berusia 17 tahun kerana kesalahan yang kali ketiga.

"Apa yang membuatkan diri ipelajarni mahu belajar semula dan mengambil SPM, saya terfikir datang dari keluarga yang susah, tiada bapa sejak dari kecil dan ibu pula tidak bekerja dan kami mengharapkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Saya terpengaruh dengan perkara yang tidak baik. Tetapi di sini, banyak yang saya pelajari termasuk berpeluang untuk mengambil SPM selepas meninggalkan persekolahan dulu.

"Jadi saya mahu buat yang terbaik untuk SPM dan apabila keluar nanti boleh buktikan pada orang lain bahawa diri ini boleh berjaya walaupun berada di sini (Sekolah Henry Gurney)," katanya.

Lenny berkata demikian selepas Majlis Apresiasi Pelajar 2023/2024 di Dewan Merak Kayangan Kompleks Penjara Kota Kinabalu di sini, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Bercerita lanjut, Lenny berkata, dia telah dibebaskan pada April lalu dan kini menunggu panggilan untuk melanjutkan pengajian di peringkat Diploma atau panggilan kerja menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang dimohonnya.

"Saya bersyukur kerana diberi peluang, rezeki yang diberi tuhan diambil sebaiknya. Jika tidak mendapat pekerjaan pun, saya akan menyambung pengajian di peringkat seterusnya dan berhasrat untuk mengambil bidang pendidikan awal kanak-kanak.

"Saya pernah mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tetapi terpaksa menolaknya kerana kekangan kewangan, tetapi jika ada peluang lain di sini mungkin saya akan pertimbangkan.

"Apa pun, sekarang saya mahu menjalani kehidupan yang lebih baik, capai cita-cita yang belum terlaksana. Jika bukan dimasukkan ke sekolah ini, saya mungkin tidak akan belajar dan terus hanyut" katanya.

Sebelum itu, Lenny mendapat keputusan SPM iaitu 3A, 3B, 2C dan 1D.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp