portal-Noraini berkesempatan menyantuni pelajar ketika sesi lawatannya.
portal-Noraini berkesempatan menyantuni pelajar ketika sesi lawatannya.

Hospitality Lab taraf lima bintang, LTA@KKLK bakal menjadi pusat pengajian tinggi bertaraf dunia

Mariatul Qatiah Zakaria
10 Nov 2021 03:45pm
A
A
A

LANGKAWI -  Hospitality Lab Tourism Academy @ Kolej Komuniti Langkawi (LTA@KKLK) merupakan gabungan bilik latihan dan simulasi bagi bidang hospitaliti dan pelancongan yang direka khas berkonsepkan operasi sebenar industri hotel  dan mengikut standard industri perhotelan semasa.

Penubuhan LTA@KKLK yang telah dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi,  Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad pada Jumaat,  bermatlamat untuk mendedahkan pelajar kepada keadaan sebenar ketika berada dalam industri kelak.

Beliau dalam ucapannya berkata, dengan perkembangan globalisasi dan pelaksanaan norma baharu, Hospitality Lab ini dilengkapi dengan peralatan-peralatan teknologi terkini mengikut standard hotel bertaraf lima bintang.

“Hospitality Lab ini bukan sahaja untuk kegunaan proses pengajaran dan pembelajaran, malah turut digunakan dalam  penganjuran kursus pendek dan latihan khas kepada komuniti serta organisasi melalui program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH),” jelasnya.

Dalam sesi lawatan kerja itu, beliau turut menyempurnakan upacara pecah tanah pembinaan bangunan asrama pelajar, kafeteria dan kemudahan-kemudahan lain di LTA@KKLK.

Noraini berkesempatan menyantuni pelajar ketika sesi lawatannya.

Projek ini dibangunkan dengan menggunakan konsep penginapan yang lebih santai dan moden bagi membolehkan pelajar tinggal di dalam kampus dengan keadaan selesa.

Menurut beliau, pembinaan ini selaras dengan visi yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pelancongan Langkawi untuk menjadikan LTA@KKLK sebagai sebuah pusat pengajian tinggi bertaraf dunia.

“Ia bukan sahaja menawarkan program pengajian pelancongan yang berkualiti tinggi tetapi juga memiliki prasarana yang lengkap serta kondusif untuk pembelajaran dan pengajaran.

“Skop projek melibatkan pembinaan asrama yang boleh memuatkan 180 orang pelajar lengkap dengan dua unit rumah warden dan kemudahan asas (rekreasi dan sosial), bina semula kafeteria untuk kapasiti 50 orang pelajar dan pembinaan surau yang melibatkan kapasiti 100 orang pelajar pada satu-satu masa. Projek ini dijangka siap pada Oktober 2023,” ujarnya.

Pada majlis sama, beliau turut menyerahkan Kit Pertandingan Worldskills Shanghai 2022 Bidang Restaurant Service kepada pelajar LTA@KKLK, J Dhineshwarana yang akan mewakili Malaysia ke pertandingan tersebut.

Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian PengajianTinggi, Dr. Mohd Zabri Yusoff; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Ts. Zainab Ahmad; Pengarah LTA@KKLK, Haslinda Abd Hamid serta pengarah-pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Utara.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok