![Ibu bapa tidak melepaskan peluang untuk membeli pakaian baharu untuk anak-anak.](https://www.sinarharian.com.my/sinarbestari/uploads/images/2025/02/10/3001898.png)
Ibu bapa tak lepas peluang beli uniform sekolah serendah RM15 di PJRM 'Back To School'
Pakaian uniform sekolah boleh didapati dengan harga serendah RM15 menyebabkan ibu bapa tidak melepaskan peluang untuk membeli belah di premis terpilih yang mengadakan jualan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) 'Back To School' di daerah ini.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, harga rendah yang turut merangkumi barangan seperti alat tulis, beg, kasut dan juga pakaian sukan antara menjadi pilihan ibu bapa termasuk dari golongan B40 yang membeli belah di premis berkenaan.
Menurut Razali Mohd Firdaus, 43, dia mengambil peluang untuk datang ke premis tersebut untuk membeli belah kelengkapan persekolahan untuk empat anaknya yang masih bersekolah.
"Banyak manfaat PJRM 'Back To School' ini kerana harga yang ditawarkan untuk barangan sekolah boleh dikatakan harga mampu milik untuk semua golongan.
"Sebab seperti yang diketahui umum, kos sara hidup kini semakin tinggi ditambah lagi seperti saya yang mempunyai ramai anak dan empat orang yang masih bersekolah, jadi bajet keseluruhan sebelum diperkenalkan harga rahmah boleh mencecah sehingga RM3,000.
"Tetapi hari ini saya dapat beli baju uniform sekolah untuk tiga anak yang mana harga asal biasanya mencecah sehingga RM35 tetapi dengan harga rahmah ini kita dapat sekitar RM15 untuk setiap seorang dan kos keseluruhan yang dikeluarkan dapat dikurangkan sehingga 15 peratus," katanya pada Ahad.
![Razali (kiri) dan Sharifah (kanan).](https://www.sinarharian.com.my/sinarbestari/uploads/images/2025/02/10/3001897.png)
Katanya lagi, sudah tentu pengurangan harga atau harga rahmah yang ditawarkan itu memberi manfaat besar kepada ibu bapa termasuk wang yang lebih itu boleh digunakan untuk membayar yuran di sekolah pula.
"Ini adalah satu kewajiban yang setiap tahun kita kena lalui beli barang sekolah anak-anak, jadi saya rasa ibu bapa ambil peluang ini untuk mendapatkan harga mampu milik.
"Jadi bajet yang lebih itu boleh digunakan untuk membayar yuran sekolah atau keperluan lain," katanya yang juga hanya bekerja sendiri.
Sehubungan itu, Razali berharap, jualan seperti itu diteruskan untuk setiap kali musim persekolahan bermula bagi membantu meringankan beban ibu bapa terutama golongan kurang berkemampuan.
Sementara itu, suri rumah Sharifah Sabli, 31, berkata, harga yang ditawarkan untuk barangan sekolah yang dijual di premis terpilih untuk PJRM 'Back To School' itu memudahkan ibu bapa yang sedang menyediakan alat kelengkapan persekolahan untuk anak-anak.
"Bagi saya ini sudah memudahkan kerana harga yang ditawarkan lebih murah berbanding biasa. Memandangkan kita juga akan menyambut perayaan dalam tempoh dua bulan lagi sudah tentu banyak perbelanjaan yang mahu digunakan.
"Hari ini, saya dapat belikan kasut sekolah, baju seragam dan juga alat tulis untuk anak dan biasanya barangan sekolah yang dibeli ini boleh mencecah lebih RM200 tetapi kali ini hanya sekitar RM150 sahaja untuk seorang anak," katanya.