ibu-bapa-tanpa-penggiliran-sekolah
ibu-bapa-tanpa-penggiliran-sekolah

Ibu bapa tarik nafas lega, sesi persekolahan tanpa penggiliran dilaksanakan

Adlan Farhan Azwan
13 Apr 2022 03:42pm
A
A
A

KLANG - Ibu bapa meluahkan rasa lega apabila sesi persekolahan tanpa penggiliran akan dilaksanakan bermula 17 April ini dan seterusnya proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) anak-anak secara bersemuka dapat dijalankan dengan lebih lancar.

Tinjauan Sinar Bestari di Sekolah Kebangsaan (SK) 2 Simpang Lima di sini mendapati ramai ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah bersetuju dengan keputusan yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) baru-baru ini.

Menurut ibu kepada anak yang bersekolah di situ, Eliza Azlina Mahjom, setiap murid mempunyai tahap pemahaman yang berbeza dan kehadiran ke sekolah dengan penggiliran sedikit sebanyak memberi kesan terhadap proses pembelajaran tersebut.

[video width="640" height="352" mp4="https://sinarbestari.sinarharian.com.my/wp-content/uploads/2022/04/ibu-bapa-tanpa-penggiliran-sekolah.mp4"][/video]

Baca juga

Tiada lagi penggiliran sekolah rendah, semua dibenar hadir secara bersemuka mulai 17 dan 18 April

Lebih 2 juta murid sekolah menengah kembali jalani PdP secara bersemuka

“Jika murid boleh hadir ke sekolah tanpa penggiliran, guru boleh mengenal pasti murid yang perlu diberi perhatian sewajarnya.

“Kita sudah masuk pada fasa endemik dan kesan Covid-19 tidak begitu teruk seperti pada awal penularan wabak itu.

“Jadi, kita terpaksa menjalani kehidupan norma baharu dengan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan KPM di sekolah,” katanya kepada Sinar Bestari, hari ini.

Dalam pada itu, jururawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah yang juga ibu kepada salah seorang murid di sekolah itu, Nur Fatin Marzuki berkata, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang terpaksa dijalani oleh murid-murid sangat rumit dan tidak begitu berkesan.

[video width="640" height="352" mp4="https://sinarbestari.sinarharian.com.my/wp-content/uploads/2022/04/Ibu-bapa-tanpa-penggiliran.mp4"][/video]

“Apabila murid-murid sudah kembali ke sekolah seperti biasa untuk mengikuti PdP secara bersemuka, guru dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya di dalam kelas.

“Seterusnya anak-anak dapat mengikuti proses pembelajaran dengan lebih baik berbanding belajar secara dalam talian di rumah,” jelasnya.

Dia juga menjelaskan tiada kerisauan berkaitan SOP kerana pihak sekolah telah menetapkan untuk menjalankan Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen) secara rawak terhadap murid-murid yang hadir ke sekolah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan semua murid sekolah rendah dibenarkan menghadiri sekolah secara bersemuka tanpa penggiliran mengikut kumpulan negeri masing-masing.

Berdasarkan takwim KPM, negeri Kumpulan A yang akan belajar tanpa penggiliran mulai 17 April ini adalah Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Bagi negeri Kumpulan B yang terdiri daripada Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pula, kehadiran murid-murid ke sekolah tanpa penggiliran bermula pada 18 April ini.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok