Mohamed Khaled
Mohamed Khaled

Ini kata Mohamed Khaled mengenai capaian internet di universiti

ROSHLAWATY MD RAIEH
12 Jul 2023 03:07pm
A
A
A

Capaian internet yang kurang memuaskan di kebanyakan institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini menimbulkan pelbagai masalah kepada warga kampus.

Ini kerana masalah capaian internet yang lemah menyulitkan proses pengajian dan hal-hal berkaitan memandangkan internet adalah perkara asas untuk tujuan pembelajaran di pusat pengajian hari ini.

Kerana permasalahan tersebut, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tampil memberi solusi tentang perkara tersebut.

Katanya, KPT akan memberi keutamaan kepada usaha menaik taraf rangkaian merangkumi peluasan dan peningkatan liputan WiFi di semua universiti awam di negara ini.

Bagi tujuan itu, Mohamed Khaled memberitahu, kementerian telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan peruntukan daripada Kementerian Kewangan bagi melaksanakan projek berkenaan khasnya di beberapa universiti yang mengalami masalah dan tiada capaian internet.

“Tidak dinafikan di sesetengah tempat memang ada gangguan atau tiada capaian internet. Kementerian telah mengenal pasti tempat untuk menangani masalah tersebut,” ujarnya selepas menyampaikan Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Negeri Sembilan di Hotel Royale Chulan, Seremban, Negeri Sembilan pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohd Zahari Ismail.

Sebelum ini dilaporkan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta KPT akan melaksanakan tindakan segera bagi memastikan kesalinghubungan di kampus ditambah baik.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled memberitahu, Kolej Komuniti berperanan sebagai penghakupayaan masyarakat setempat selain menjadi institusi yang memberi nilai tambah kepada masyarakat sekeliling menerusi pelbagai program kemahiran ditawarkan.

“Kolej Komuniti memberi peluang kedua kepada masyarakat setempat menerusi tawaran program kemahiran dan sijil.

“Ia merupakan satu instrumen penghakupayaan masyarakat melalui kursus-kursus pendek,” ujarnya dengan menambah Kolej Komuniti juga menjadi ejen perubahan masyarakat dan mahu institusi itu terus diperkasa demi menggalas agenda negara serta menjadi nadi masyarakat setempat.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok