Nur Atirah muncul Penuntut Terbaik Kursus Asas Perajurit Muda
“Alhamdulillah, terima kasih ALLAH, terima kasih semua,” luah Nur Atirah Abdul Nasir apabila diumum Penuntut Terbaik dalam Kursus Asas Perajurit Muda Bilangan 1/2024, baru-baru ini.
Beliau yang merupakan penuntut Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah, menerima cenderahati pengiktirafan dari Timbalan Komander Rejimen 513 Askar Wataniah (AW), Leftenan Kolonel Kamarulruzaimi Abdul Razak dalam majlis perbarisan penutup kursus berkenaan.
Nur Atirah berkata, dia cukup teruja menyertai Kursus Asas Perajurit Muda kerana dapat membentuk disiplin tinggi dan melatih kekuatan mental dan fizikal.
Malah ujarnya lagi, kursus berkenaan memberi satu pengalaman luar biasa sebagai Perajurit Muda.
Sementara itu, wakil penganjur, Mejar Md Fadli Mat Hashim berkata, kursus asas tersebut adalah kerjasama strategik antara Rejimen 513 AW dan POLIMAS.
Ia bertujuan memantapkan organisasi keselamatan dan menjadikan anggota lebih berdisiplin, menepati masa dan berketrampilan.
“Pendedahan kepada aktiviti lasak, latihan kawad dan ikhtiar hidup kepada anggota-anggota akan menjadikan mereka lebih berkeyakinan dan bijak mengurus masa kelak.
“Diharapkan anda semua dapat mempelajari dan mengaplikasikan apa yang diperoleh dengan sebaik mungkin dalam kehidupan," katanya.
Terdahulu, Kursus Asas Perajurit Muda Bilangan 1/2024 yang diadakan di POLIMAS selama sebulan merupakan program kali pertama tahun ini.
Seramai 55 penuntut menyertai kursus berkenaan yang terdiri daripada 22 penuntut POLIMAS, 10 penuntut Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim, Kedah dan selebihnya belia tempatan..