imperial4
imperial4

IPT disaran hasilkan penyelidikan berimpak kepada masyarakat

Nor Azma  Muhamat Laila
24 May 2022 11:15am
A
A
A

LONDON - Institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia disaran untuk menghasilkan penyelidikan yang memberi impak kepada kemajuan masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, tumpuan penghasilan penyelidikan perlu diberikan terhadap kualitinya berbanding kuantiti.

Katanya, IPT diharap dapat menjalankan penyelidikan yang memberi impak besar kepada negara kerana secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada masyarakat serta mempamerkan kualiti sebenar pengajian tinggi negara.

"Apabila perkara ini dapat direalisasikan pastinya menjadi antara faktor utama yang mampu menarik minat pelajar antarabangsa menyambung pengajian di Malaysia.

"Selain itu, ia akan menarik minat syarikat antarabangsa untuk mengadakan kerjasama dengan IPT di Malaysia," katanya selepas sesi pertemuan delegasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan pelajar dan pensyarah Malaysia di Oxford University, United Kingdom, baru-baru ini.

Delegasi Malaysia merakam kenangan di hadapan Imperial College London. - Gambar ihsan dari MQA

Delegasi itu diketuai Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Dr Mohd Zabri Yusoff dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr Husaini Omar.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, hasil perkongsian daripada lawatan di Imperial College London sebelum ini, institusi itu menyatakan hasil penyelidikannya mendapat sambutan daripada industri besar, misalnya syarikat Caterpillar dari Amerika Syarikat (AS) dalam penghasilan produk terkini untuk industri pembuatan.

Noraini beramah mesra bersama pelajar Malaysia di Imperial College London. - Gambar ihsan dari MQA

Ujarnya, pada masa akan datang, Malaysia juga mampu menarik minat syarikat gergasi dari luar untuk menjalin kerjasama penyelidikan, namun kajian dihasilkan IPT di Malaysia mestilah yang berimpak tinggi.

"Amalan yang hanya melihat kuantiti penyelidikan perlu dinilai semula agar kajian yang dijalankan memberi impak besar kepada negara dan seterusnya masyarakat sejagat.

"Apabila semua ini tercapai, kualiti pengajian tinggi negara pastinya akan lebih cemerlang di persada antarabangsa dan sasaran untuk menarik kira-kira 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2025 pasti dapat direalisasikan," jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok