
KPM perlu teliti semula jadual SPM 2026 - Radzi Jidin
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta meneliti semula jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 susulan kebimbangan ibu bapa dan calon terhadap pelaksanaan Ujian Mendengar serta Ujian Bertulis bagi subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada hari sama.
Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ketetapan lebih munasabah perlu dirangka demi memastikan tumpuan dan kesiapsiagaan calon tidak terjejas.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya memaklumkan, berdasarkan jadual peperiksaan terkini, ada komponen peperiksaan berlangsung pada hari sama.
"Ada yang berkongsi dengan saya tentang keresahan mereka berkaitan jadual Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026.
"Berdasarkan jadual peperiksaan terkini, tahun 2026 menunjukkan perubahan ketara apabila Ujian Mendengar dilaksanakan pada hari yang sama dengan Ujian Bertulis," katanya dalam hantaran Facebook pada Rabu.
Menurut Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, situasi berkenaan tidak pernah berlaku sejak Ujian Mendengar diperkenalkan semula pada tahun 2021.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan, Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Ujian Bertulis Bahasa Melayu dijadualkan pada tarikh yang sama iaitu pada 23 November 2026.
"Begitu juga bagi subjek Bahasa Inggeris, di mana Ujian Mendengar dan Ujian Bertulis ditetapkan pada 24 November 2026," ujarnya.
Justeru, Mohd Radzi berpandangan, kementerian perlu meneliti perkara terbabit dengan mengambil kira input dan pandangan ibu bapa serta calon SPM 2026.
