
Tip belajar saat akhir untuk calon SPM 2026
Peperiksaan SPM 2026 semakin menghampiri. Bagi calon yang mungkin mula rasa berdebar atau masih belum sempat mengulang kaji semua topik, jangan panik. Gunakan masa yang ada sebaik mungkin dengan strategi belajar yang lebih teratur dan fokus.
Di sini, Sinar Bestari kongsikan 10 tip belajar saat akhir untuk calon SPM praktikkan:
1) Utamakan topik penting - Fokus pada topik yang sering ditanya dan masih belum dikuasai.
2) Buat ulang kaji secara ringkas - Gunakan nota, peta minda atau kad imbas untuk mengingati fakta dengan cepat.
3) Banyakkan latihan soalan - Jawab soalan tahun lalu dan kenal pasti kesilapan.
4) Jangan abaikan subjek lemah - Luangkan masa lebih untuk topik yang masih kurang difahami.
5) Belajar ikut jadual - Bahagikan masa mengikut subjek supaya ulang kaji lebih tersusun.
6) Elakkan belajar perkara baharu terlalu banyak - Kukuhkan apa yang sudah dipelajari berbanding mengejar semua topik.
7) Berehat seketika - Rehat pendek membantu minda kekal fokus dan tidak cepat letih.
8) Tidur yang cukup - Jangan paksa diri berjaga sehingga lewat malam. Badan dan minda perlukan rehat.
9) Kurangkan gangguan - Letakkan telefon jauh dan pilih tempat belajar yang lebih tenang.
10) Yakin dengan usaha sendiri - Jangan bandingkan persediaan diri dengan orang lain. Fokus pada apa yang masih boleh dilakukan.
Akhir sekali, jangan biarkan rasa takut menguasai diri apabila peperiksaan semakin dekat. Manfaatkan masa yang ada dengan sebaiknya, kekal fokus dan percaya pada usaha yang sudah dilakukan.
Tenang, usaha dan yakin. Lakukan yang terbaik untuk SPM 2026!