Fadhlina
Fadhlina

Isu sekolah padat: KPM lulus segera pembinaan bilik darjah tambahan di Selangor - Fadhlina

24 Jan 2026 10:29pm

Kementerian Pendidikan (KPM) meluluskan segera pembinaan bilik darjah tambahan bagi 18 sekolah padat di Selangor sebagai langkah jangka pendek bagi menangani masalah kelas sesak dan kekurangan prasarana yang menjejaskan pembelajaran murid.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dan pasukan kementerian bagi memastikan isu berkenaan ditangani dengan bersungguh-sungguh tanpa menunggu ia tular di media sosial.

"Setelah melihat intervensi jangka pendek, saya luluskan segera semua pembinaan bilik darjah tambahan bagi sekolah-sekolah (padat) tersebut," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, sekolah padat, kelas sesak dan prasarana tidak mencukupi akan memberi kesan kepada keberkesanan pembelajaran, justeru semua pembinaan bilik darjah tambahan bagi sekolah terlibat akan dilaksanakan segera secara berfasa.

Selain itu, Fadhlina berkata, beliau turut mengarahkan penambahan waran guru bagi menangani isu kekurangan guru di sekolah-sekolah padat berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, sekolah-sekolah baharu yang sedang dibina juga akan diberikan perhatian segera bagi memastikan perancangan pendidikan dapat memenuhi keperluan semasa.

Fadhlina berkata, Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 mengutamakan penyediaan suasana pembelajaran yang kondusif serta prasarana selesa bagi meningkatkan mutu pendidikan negara.

"Jangan kerja sebab viral, kita kerja kerana itu memang kerja kita," katanya.

Beliau turut memaklumkan mesyuarat seterusnya akan diadakan bersama JPN Kedah bagi menangani isu sekolah padat di negeri berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Isu sekolah padat: KPM lulus segera pembinaan bilik darjah tambahan di Selangor - Fadhlina
  • Kementerian Pendidikan meluluskan segera pembinaan bilik darjah tambahan bagi 18 sekolah padat di Selangor
  • Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata keputusan itu dibuat untuk mengatasi masalah kelas sesak dan kekurangan prasarana
  • Fadhlina juga mengarahkan penambahan waran guru bagi menangani isu kekurangan guru di sekolah-sekolah padat tersebut
  • Sekolah-sekolah baharu yang sedang dibina juga akan diberikan perhatian segera untuk memastikan pendidikan memenuhi keperluan semasa
  • Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 mengutamakan suasana pembelajaran kondusif dan prasarana selesa bagi meningkatkan mutu pendidikan
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp