
Isu tular kemenangan atlet ditarik selesai - Fadhlina
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan isu berhubung penarikan semula kemenangan naib johan dalam acara merentas desa Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Semporna, Sabah telah diselesaikan secara baik.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya telah mengambil maklum mengenai isu yang tular itu.
"Kita ambil maklum mengenai acara tersebut dan saya ingin memaklumkan bahawa isu tersebut telah diselesaikan dengan secara harmoni dan baik di semua peringkat.
"Jadi peranan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), guru, sekolah, ibu bapa dan keluarga telah pun menyelesaikan perkara ini dengan secara baik.
"Kita ambil maklum dan ambil tanggungjawab untuk menyelesaikan perkara ini sehingga ia selesai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kepimpinan Madani: Cakna Pendidikan Digital di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Khamis.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Sektor Operasi Sekolah, Zainal Abas dan Pengarah JPN Sabah, Datuk Raisin Saidin.
Mengulas lanjut, Fadhlina menegaskan bahawa sebarang isu yang berbangkit sentiasa mempunyai ruang untuk dibincangkan dan sedia untuk disiasat.
"Jadi saya ingin memaklumkan ia telah diselesaikan secara baik dan insya-ALLAH apa saja isu-isu yang berbangkit, kita sentiasa ada ruang untuk berbincang dan untuk nilai.
"Kalau ada dakwaan-dakwaan yang tidak betul dan sebagainya, kita sedia untuk siasat dan JPN memberikan komitmen penuh kepada isu-isu yang dibangkitkan," katanya.
Ditanya jika pertemuan sudah diadakan dengan pihak terlibat, beliau memaklumkan ia telah pun dilakukan.
Sebelum itu, tular di media sosial dakwaan kemenangan seorang pelajar yang mendapat tempat kedua dalam acara merentas desa MSSD Semporna ditarik semula dan mencetuskan reaksi pelbagai pihak.