
Jalur Gemilang terbalik: Individu terlibat OKU - ADUN Lukut
Individu yang memasang bendera Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah sekolah di Port Dickson, Negeri Sembilan ialah Orang Kurang Upaya (OKU), kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa.
Choo berkata, beliau sendiri turun padang untuk bertemu pihak sekolah pada hari kejadian.
"Hal ini berlaku sebab pihak Guru Besar libatkan seorang pekerja OKU.
"Dia pakai bendera lama, dia pasang lepas itu dia pun balik. Selepas dimaklumkan dalam dua jam (bendera) itu telah diturunkan, jadi ia bukan disengajakan, jangan diviralkan perkara itu dan kata sekolah tak cintakan negara," katanya ketika bangun mencelah bagi menjelaskan isu itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
Justeru, Choo berharap semua pihak tidak lagi menularkan perkara berkenaan selain pengurusan sekolah juga telah memohon maaf atas insiden itu.
Sebelum ini, media melaporkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Port Dickson memohon maaf secara terbuka susulan insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di premis sekolah berkenaan pada Jumaat.
Dalam kenyataan bersama Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pentadbiran sekolah meluahkan kekesalan terhadap insiden itu yang disifatkan sebagai kecuaian tidak disengajakan.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Maslan Udin dalam kenyataan berkata, polis telah mengenal pasti seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan. - Bernama