Pihak sekolah menerima makluman sekitar jam 5 petang dan mengambil langkah pembetulan dengan segera. - Gambar: Ihsan media sosial.
Pihak sekolah menerima makluman sekitar jam 5 petang dan mengambil langkah pembetulan dengan segera. - Gambar: Ihsan media sosial.

SJKC Chung Hua Port Dickson mohon maaf insiden Jalur Gemilang terbalik

03 Aug 2025 10:19pm

Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Port Dickson, Negeri Sembilan memohon maaf secara terbuka susulan insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di premis sekolah berkenaan, Jumaat lalu.

Dalam kenyataan bersama Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pentadbiran sekolah, pihaknya meluahkan rasa kesal terhadap insiden itu yang disifatkan sebagai kecuaian tidak disengajakan.

Menurut kenyataan itu, kejadian berlaku pada petang 1 Ogos apabila seorang pekerja sekolah memasang bendera sebelum tamat waktu bekerja, namun tanpa disedari satu daripadanya dipasang secara terbalik.

"Pihak sekolah menerima makluman mengenai perkara itu sekitar pukul 5 petang dan segera mengambil tindakan membetulkannya," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi Facebook SJKC Chung Hua Port Dickson.

Pihak sekolah turut mengakui insiden berkenaan menimbulkan kekeliruan dan kegusaran awam terutama apabila ia tular di media sosial.

Sehubungan itu, pihak sekolah berjanji akan terus menjalankan tanggungjawab pendidikan dengan penuh integriti serta menegaskan komitmen untuk sentiasa menghormati simbol kedaulatan negara.

Selain itu, SJKC Chung Hua turut berikrar memperkukuh prosedur pemantauan dan pelaksanaan serta meningkatkan tahap kewaspadaan bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa depan. - Bernama 

 

Artikel Berkaitan:

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp