Jangan ambil mudah! Mohon murid pakai topi keledar ketika pergi dan pulang dari sekolah
Patut atau tidak, kepala ibu bapa dilindungi dengan topi keledar ketika menunggang motosikal, tetapi kepala anak-anak yang berusia tujuh hingga 12 tahun pula, tidak dipakaikan dengan topi keledar ketika pergi dan pulang dari sekolah.
Inilah realiti yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita hari ini.
Ada yang memberitahu, faktor utama mereka berbuat demikian disebabkan jarak rumah dan sekolah tidak jauh jadi kenapa harus anak-anak memakai topi keledar.
Ada pula yang kata, duit tidak mencukupi untuk membeli topi keledar dan atas sebab itu, mereka tidak memakaikan anak-anak dengan topi keledar.
Menurut Profesor Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Kulanthayan K.C. Mani, pemakaian topi keledar sangat penting terutama bagi murid sekolah rendah.
Walaupun sebagai pembonceng motosikal, mereka wajib memakainya kerana ia dapat melindungi daripada berlakunya perkara yang tidak diingini.
“Topi keledar adalah alat perlindungan untuk anggota paling penting iaitu kepala.
“Jadi penggunaan topi keledar mampu menyelamatkan nyawa dan mengurangkan risiko kecederaan serius seperti keretakan tempurung kepala, pendarahan, kerosakan pendengaran dan penglihatan,” katanya ketika ditemui selepas berakhirnya program Motorcycle Child Safety Helmet Initiative ke 4, di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Telok Panglima Garang, Klang, Selangor.
Dr Kulanthayan berkata, pihak sekolah memainkan peranan penting dalam membudayakan pemakaian topi keledar kepada murid-muridnya.
“Suka saya cadangkan kepada semua sekolah supaya sentiasa memberikan peringatan mengenai keselamatan jalan raya kepada anak-anak didik tanpa mengira masa.
“Mungkin peringatan itu boleh disampaikan pada waktu perhimpunan sekolah, diselitkan ketika sesi pembelajaran di dalam kelas dan mewujudkan satu sudut informasi berkaitan keselamatan jalan raya di sekolah,” katanya lagi.
Seramai 105 murid Tahun Satu hingga Tahun Enam SJKT Teluk Panglima Garang telah dipilih menerima topi keledar sumbangan Halliburton Foundation USA.
Jelas Dr Kulanthayan, pemilihan murid-murid tersebut berdasarkan data diberikan pihak sekolah di mana kesemuanya menjadi pembonceng motosikal tanpa memakai topi keledar.
“Saya harap, dengan pemberian topi keledar ini dapat mengelakkan daripada berlaku perkara yang tidak kita inginkan dan seterusnya menjadikan perjalanan mereka ke sekolah lancar dan selamat,” ujarnya.
Program anjuran Safe Kids Malaysia UPM dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Malaysia, PDRM, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Safe Kids Worldwide USA turut dihadiri oleh tetamu jemputan.
Mereka ialah Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Supt Dr Bakri Zainal Abidin; Unit Keselamatan Jalan Raya & Korporat, JPJ Negeri Selangor, Sasikumar Sathasivam dan Guru Besar SJKT Teluk Pangliman Garang, Rajaseran A/L Krishnan.
Sepanjang Motorcycle Child Safety Helmet Initiative berlangsung, beberapa aktiviti menarik telah disediakan untuk murid-murid iaitu ceramah keselamatan jalan raya yang disampaikan Dr Kulanthayan, pameran dan juga kuiz.
Dalam perkembangan lain, murid-murid dari SJKT Pulau Carey Timur turut menerima topi keledar yang disumbangkan Halliburton Foundation USA.
Seramai 35 murid telah dipilih dan Guru Besar, Muniyandy A/L Rangaswamy menjadi wakil sekolah untuk menerima topi keledar tersebut.
Artikel berkaitan
5 tip permulaan bagi pelajar yang memilih dunia jahitan atau bidang fesyen sebagai kerjaya
5 tip pemakaian guru yang sesuai dipakai ke sekolah
Jom kenali jenis-jenis server komputer