942190
942190

Jangan 'berlari' ke PPV, bekalan vaksin untuk pelajar mencukupi

Mohd Khairi Mohamad Yusri
24 Sep 2021 10:12am
A
A
A

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan bekalan vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) bagi program vaksinasi remaja adalah mencukupi untuk memenuhi keperluan 3.2 juta pelajar.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menasihati ibu bapa agar tidak menyerbu PPV bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 untuk anak-anak mereka.

"Saya nak nasihat kepada ibu bapa, usah panik, resah dan jangan berlari ke PPV," katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya pada Rabu.

Menurut beliau, pihaknya menyasarkan kesemua pelajar lengkap suntikan dos vaksin sebelum hujung tahun ini.

"Kita akan bergerak pantas dalam memberikan vaksin kepada golongan remaja," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Azmi menjelaskan, sehingga 21 September 2021, sebanyak 5,964 buah sekolah telah berdaftar dengan portal Vaksin Anak Ku.

"Untuk makluman, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) telah dimulakan lebih awal di Sarawak, Labuan, Sabah, Kelantan, Johor dan Kedah.

"Bagi tempoh sama, seramai 410,489 remaja telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 dengan Sabah merekodkan bilangan tertinggi iaitu 140,890 remaja diikuti Sarawak (85,291), Kedah (31,294), Kelantan (17,413), Johor (27,936) dan Labuan (2,515)," ujarnya.

Ditanya mengenai kesan samping yang dihadapi pelajar selepas menerima suntikan pertama, beliau berkata, sehingga kini tiada kesan serius yang direkodkan.

Sementara itu, Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (CITF-A) berkata, suntikan dos vaksin tidak akan diberikan kepada pelajar yang mengalami alergi serius.

"Setakat ini, hanya vaksin Pfizer diberikan kelulusan bersyarat. Jika ada yang mempunyai alergi, suntikan tidak akan diberikan," jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok