No Image Caption

Jangan jadikan kemiskinan sebagai penghalang, bantuan akan diberi kepada pelajar cemerlang - Asyraf Wajdi

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
15 Oct 2024 04:52pm

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan, bantuan akan diberikan kepada pelajar cemerlang yang tidak dapat menjalani ujian kelayakan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) disebabkan masalah kemiskinan.

Menerusi satu hantaran di Facebooknya, Asyraf berkata, beliau sudah meminta pihak Mara untuk menghubungi ibu bapa pelajar itu dan menguruskan pengangkutan untuk membawa dia ke MRSM Kuala Krai, Kelantan bagi menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) serta ujian khas International General Certification of Secondary Education (IGCSE) ke Tingkatan Satu 2025.

“Saya telah sebutkan banyak kali jangan jadikan alasan kemiskinan mahupun kekangan kewangan sebagai faktor penghalang untuk menyambung pengajian.

“Mara akan cuba sedaya upaya untuk membantu agar tiada pelajar cemerlang yang tercicir. Maklumkan terus kepada saya jika ada kes-kes sebegini.

“Saya sudah meminta Mara menghubungi ibu bapa pelajar ini. Insya-ALLAH pihak MRSM Kuala Krai akan bantu uruskan pengangkutan pelajar miskin berkenaan untuk dibawa ke MRSM Kuala Krai bagi menduduki peperiksaan UKKM,” katanya.

Beliau turut menambah, Bahagian Pendidikan Menengah Mara telah memaklumkan tarikh baru bagi UKKM pada yang mohon ditukar atas pelbagai sebab dan akan dimaklumkan 23 Oktober ini.

Sebelum ini, tular kisah seorang pelajar cemerlang berusia 12 tahun bernama Nur Nasuha Nusi yang terpaksa melupakan hasratnya menyambung pelajaran ke MRSM disebabkan tidak mempunyai kenderaan.

Difahamkan, dia sepatutnya menduduki UKKM dan IGCSE Tingkatan Satu 2025 di MRSM Kuala Krai pada 8 Oktober lalu, tetapi tidak kesampaian kerana masalah kewangan, selain keluarganya hanya mempunyai motosikal.

Menurut bapanya, Mohd Nusi Mamat, mereka menghadapi masalah kewangan sejak dia terpaksa berhenti kerja sebagai mekanik kerana penyakit gastrik kronik sejak dua tahun lalu.

"Sakit perut ini menyerang saya sehingga ada masanya terlantar sehingga seminggu, saya kini buat kerja kampung jika sihat dengan pendapatan tidak menentu.

"Disebabkan keadaan saya, keadaaan kewangan keluarga juga terjejas hingga kami sering terputus bekalan makanan," katanya.

Dia berkata, dia juga hanya mampu menyediakan RM2 untuk perbelanjaan sekolah anak-anaknya dan jika kehabisan wang, hanya menjamu selera keluarga dengan nasi goreng kosong tanpa lauk.

Menurutnya, ketika ini mereka hanya mengharapkan ihsan keluarganya selain berhutang untuk kelangsungan hidup mereka enam beranak termasuk isteri, Nurul Izzati Nor, 31 yang sedang mengandung tujuh bulan.

"Saya berharap anak masih berpeluang ke MRSM kerana anak sulung, Nurul Natasha Balqistina, 13, juga pernah dapat tawaran ke MRSM namun tidak dapat ke sana kerana kemiskinan kami sedangkan ini peluang anak-anak untuk ubah nasib keluarga," katanya.

Nasuha yang sering mendapat tempat pertama dalam kelas berkata, dia berharap Mara dan pihak berkaitan dapat membantunya menduduki peperiksaan khas itu yang difahamkan masih berlangsung sebelum ditempatkan di MRSM tahun depan.

Dia mendapat tawaran menduduki peperiksaan khas kemasukan ke MRSM selepas mendapat keputusan cemerlang dalam Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) pertengahan sesi akademik 2024/25.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp