
Jangan risau, waktu persekolahan sepanjang Ramadan tamat awal
Tidak sampai 24 jam sesi persekolahan 2025/2026 dibuka pada Isnin, timbul pula rungutan mengenai waktu pembelajaran yang didakwa berlangsung seperti biasa sepanjang bulan Ramadan ini.
Tinjauan di laman sosial Facebook mendapati, ada segelintir ibu bapa dan penjaga yang menggunakan khidmat bas sekolah bagi menghantar anak-anak ke sekolah mempersoalkan masa tamatnya sesi pembelajaran sebagai tidak masuk akal.
Ada yang mendakwa, sekiranya sesi persekolahan petang tamat seperti biasa, akan ada pelajar yang terpaksa membuka puasa dalam bas atau tidak sempat sampai ke rumah.
Walau bagaimanapun, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada lewat petang Isnin, telah mengeluarkan satu kenyataan yang menepis dakwaan itu.
Menurut KPM, sekolah sesi petang di Semenanjung akan tamat pada jam 5.30 petang, manakala 5 petang di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan sepanjang Ramadan nanti.
Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan bahawa sekolah sesi pagi akan beroperasi seperti biasa.
"Sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan akan beroperasi seperti biasa pada Ramadan seperti tahun sebelum ini berdasarkan Surat Siaran KPM Bilangan 3 Tahun 2022 yang sedang diguna pakai.
"KPM mengambil serius hantaran tidak bertanggungjawab yang cuba ditularkan oleh sesetengah pihak dalam laman media sosial berkenaan pengoperasian sekolah dalam bulan Ramadan pada tahun ini," menurut kenyataan itu.
KPM memaklumkan bagi memastikan pengoperasian sekolah berjalan lancar, sesi petang ditetapkan bagi membolehkan murid serta guru beragama Islam dapat menunaikan ibadah bulan Ramadan dengan selesa.
"KPM menasihatkan orang awam untuk sentiasa merujuk kepada maklumat rasmi kementerian dan tidak terpengaruh dengan hantaran media sosial berniat jahat yang cuba untuk mengelirukan masyarakat," menurutnya.