Anggota keselamatan sedang mengeluarkan seekor biawak yang memasuki kelas pelajar pada hari kedua minggu orientasi pelajar di SMK Khir Johari, Bagan Datuk, Perak.
Anggota keselamatan sedang mengeluarkan seekor biawak yang memasuki kelas pelajar pada hari kedua minggu orientasi pelajar di SMK Khir Johari, Bagan Datuk, Perak.

Biawak 'serbu' kelas di hari pertama sesi persekolahan SMK Khir Johari

SAIFULLAH AHMADSAIFULLAH AHMAD
18 Feb 2025 04:31pm

Hari pertama persekolahan adalah satu momen paling manis untuk dikenang, apatah lagi ia membabitkan permulaan kepada pelajar yang baharu melangkah ke alam sekolah menengah.

Lain pula yang berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari, Sungai Sumun dekat Bagan Datuk, Perak ini apabila sesi orientasi pelajar Tingkatan Satu bertukar kecoh berikutan kehadiran seekor biawak dalam kelas.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bagan Datuk, Kapten Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata, pihaknya menerima panggilan guru sekolah mengenai kejadian itu pada jam 12.56 tengah hari.

Menurutnya, susulan itu sepasukan anggota seramai empat orang bersama jentera ke lokasi berkenaan untuk menangkap haiwan tersebut.

"Setelah tiba di lokasi, anggota mendapati terdapat seekor biawak yang cedera berada dalam sebuah bilik kelas di tingkat dua bangunan sekolah itu.

"Haiwan reptilia itu agak agresif cuba melibas anggota dengan ekornya sebelum berjaya ditangkap," katanya pada Selasa.

Mohd Fazly berkata, ketika kejadian tiada pelajar di dalam kelas kerana kesemua mereka sedang menjalani aktiviti orientasi yang disediakan oleh pihak sekolah.

Tambahnya, kejadian itu juga tidak melibatkan mangsa manakala reptilia dengan berat dianggarkan 7kg itu kemudiannya dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah Bagan Datuk untuk tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp