ANWAR
ANWAR

'Jangan salahkan guru semata-mata' – PM Anwar tegas soal akhlak pelajar

13 Oct 2025 02:13pm

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tanggungjawab membentuk akhlak dan moral pelajar tidak sepatutnya dipikul oleh guru semata-mata, sebaliknya perlu dikongsi bersama ibu bapa dan masyarakat.

Menurut beliau, sistem pendidikan yang diwarisi sejak sekian lama mempunyai kelemahan apabila terlalu menekankan aspek akademik berbanding nilai, etika dan prinsip moral dalam diri pelajar.

“Saya tekankan bahawa masalah seperti buli dan salah laku pelajar berpunca daripada sistem pendidikan yang lebih menumpukan kepada ilmu pengetahuan, bukan prinsip moral dan nilai kemanusiaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Anwar turut berharap agar wujud kesepakatan antara semua pihak iaitu sekolah, ibu bapa dan komuniti dalam memperkukuh nilai moral generasi muda supaya mereka bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga berakhlak mulia.

“Mudah-mudahan kita ada tekad bersama untuk melakukan yang terbaik buat keluarga, masyarakat dan negara,” ujarnya.

Kenyataan beliau hadir susulan kes jenayah membabitkan pelajar sekolah yang tular baru-baru ini. Dalam kejadian di Alor Gajah, empat pelajar lelaki berusia 17 tahun ditahan reman selepas disyaki merogol seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan sedang melaksanakan reformasi menyeluruh bagi memperkukuh keselamatan dan disiplin murid, termasuk cadangan menggubal Akta Antibuli melalui sistem tribunal khas. Cadangan tersebut kini sedang diperincikan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tanggungjawab membentuk akhlak dan moral pelajar harus dikongsi bersama ibu bapa dan masyarakat
  • Sistem pendidikan terlalu menekankan aspek akademik berbanding nilai, etika dan prinsip moral
  • Masalah buli dan salah laku pelajar berpunca daripada sistem pendidikan yang lebih menumpukan pada ilmu pengetahuan
  • Anwar berharap ada kesepakatan antara sekolah, ibu bapa, dan komuniti dalam memperkukuh nilai moral generasi muda
  • Kementerian Pendidikan Malaysia menyedari perlu ada reformasi untuk memperkukuh keselamatan dan disiplin murid, termasuk cadangan Akta Antibuli
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp