
Generasi muda, semangat Gaza berkobar!
Dari universiti ke lautan, sukarelawan Malaysia sertai misi GSF bukti keberanian dan kepimpinan sejati
Misi Global Sumud Flotilla disertai kira-kira 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia.
Tahukah anda, mereka ini belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan rejim Zionis.
Ia bukanlah suatu pengembaraan biasa, namun sebagai perjuangan menegakkan hak dan kebebasan rakyat Palestin.
Sekumpulan sukarelawan ini berjuang membawa semangat kemanusiaan merentasi sempadan dengan bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan harian mereka yang memerlukan.
Di sebalik keberanian wira dan wirawati ini, terserlah nilai pendidikan, disiplin dan jiwa kepimpinan yang terbentuk sejak dari dunia universiti.
Mereka ialah Nur Heliza Helmi, Nurfarahin Romli (Farah Lee), Muhammad Hareez Adzrami (Haroqs), Muhammad Muaz Zainal Abidin, Iylia Balqis Suhaimi dan Nurul Hidayah Mohd Amin (Ardell Aryana).
Turut serta Zizi Kirana, Danish Nazran Murad, PU Rahmat, Musa Nuwayri, Haikal Abdullah, Sul Aidil, Zulfadhli Khiruddin, Rusydi Ramli, Razali Awang, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak, Zainal Rashid, Ustaz Muhammad Abdullah, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif.
Ini dia empat sosok yang Sinar Bestari yakin mampu menyuntik semangat para pelajar untuk menjadi generasi terbaik!
1) IYLIA BALQIS SUHAIMI
Iylia Balqis merupakan pelajar Sarjana Pengajian Etnik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memaparkan ketabahan dan jiwa kemanusiaan tinggi dalam usaha menabur bakti kepada mereka yang tertindas.
Dia juga antara 23 sukarelawan Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, yang mengambil risiko tinggi tetapi tetap tenang dalam menghulur bantuan.
Bekas pelajar SMK Seksyen 18 Shah Alam ini meneruskan pengajian di Universiti Al al-Bayt, Jordan sebelum kembali ke Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke UKM.
Selain akademik, Iylia Balqis aktif dalam NGO Cinta Syria Malaysia, terlibat dalam program bantuan kepada pelarian dan pendidikan anak Syria.

2) ARDELL ARYANA
Nurul Hidayah Mohd Amin atau Ardell Aryana merupakan graduan Diploma Pengurusan Perniagaan Kolej Cambridge tidak melepaskan peluang menyertai misi kemanusiaan ini, sekali gus membuktikan keberanian bukan sekadar kata-kata.
Di sebalik imej selebriti, ada jiwa tabah yang sanggup mempertaruhkan diri demi solidariti sejagat.
Keteguhan dan keberaniannya kini menjadi inspirasi dalam kalangan belia, menyemai semangat kasih sayang dan tanggungjawab sosial.
3) HAROQS
Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, seorang mahasiswa berumur 25 tahun dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), menyahut panggilan misi kemanusiaan ke Gaza sebagai sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF).
Bagi Haroqs, peluang itu adalah amanah dan ujian.
Semasa pelayarannya, dia menghadapi kegagalan kapal, kerosakan dan sekatan tentera, namun tidak pernah patah semangat.
Keberaniannya mencerminkan jiwa muda yang sanggup menggadai keselamatan demi solidariti terhadap Palestin.

4) HELIZA HELMI
Nama yang sering didengari apabila melibatkan sukarelawan misi bantuan kemanusiaan, Nur Heliza Helmi atau lebih mesra dipanggil Kak Ja.
Beliau merupakan graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam bidang Pendidikan (Biologi & Kimia) yang berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2010 dengan pencapaian cemerlang dan merangkul Anugerah Dekan Kecemerlangannya bukan sahaja dalam akademik tetapi turut menyemarakkan sumbangan kemanusiaan menerusi penyertaan misi Global Sumud Flotilla ke Gaza.
Ringkasan AI
- Misi Global Sumud Flotilla disertai oleh kira-kira 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia untuk membawa bekalan penting ke Gaza
- Ini merupakan simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa makanan, ubat-ubatan, dan keperluan harian
- Nilai pendidikan, disiplin, dan jiwa kepimpinan para aktivis terbentuk sejak dari dunia universiti
- Antara sukarelawan dari Malaysia ialah Ilya Balqis Suhaimi, Nurul Hidayah Mohd Amin (Ardell Aryana), Muhammad Hareez Adzrami (Haroqs), dan Nur Heliza Helmi
- Mereka melibatkan diri dalam misi kemanusiaan ke Gaza sebagai bentuk bukti keberanian dan solidariti sejagat